Perlu beli barang lain nilai lebih RM20, premis letak syarat sebelum bagi beli minyak masak peket diserbu KPDN

Tindakan sebuah pasar raya di Seri Iskandar, di sini, yang mengenakan syarat pembelian barangan bernilai RM20 sebelum membenarkan pengguna membeli minyak peket 1 kilogram (kg), mengundang padah apabila premis itu diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kes yang dihasilkan itu adalah hasil tindakan operasi pemeriksaan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak Cawangan Manjung melalui aduan orang awam yang mengadu bahawa peniaga mengenakan syarat untuk membeli minyak masak peket 1kg bersubsidi di premis yang diadu.

“Sehubungan itu, pasukan penguat kuasa KPDN telah melakukan dua kali uji beli melalui Ops Samar dan uji beli pertama mendapati pekerja premis tersebut memaklumkan bekalan minyak masak tiada di premis.

“Uji beli kedua pula dilakukan dengan membuat pembelian barangan lain bernilai RM15 dan mendapati pekerja premis membenarkan pembelian 1 peket minyak masak 1kg.

“Apabila penguat kuasa yang menyamar sebagai pembeli ingin membeli dua peket lagi, pekerja premis memaklumkan perlu membeli barangan lain dengan nilai lebih RM20,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat tersebut, Kamalludin berkata, sepasukan anggota penguat kuasa beruniform telah melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas premis perniagaan tersebut dan hasilnya telah menemui sebanyak 32 peket minyak masak 1kg bersubsidi yang disimpan di dalam stor premis berkenaan.

Beliau berkata, pekerja premis ketika disoal siasat memaklumkan bahawa dia hanya mengikut arahan pemilik pasar raya bahawa perlu mengenakan syarat kepada pembeli dengan membuat pembelian barangan lain.

Katanya, pekerja itu seterusnya memberitahu, tindakan itu adalah bagi membolehkan pasar raya itu mengaut keuntungan memandangkan minyak masak peket 1kg ketika ini adalah barangan keperluan semasa.

“Berikutan penemuan tersebut, satu arahan pengistiharan stok di bawah Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah diberikan kepada premis berkenaan. Siasatan lanjut mendapati premis memiliki lesen runcit barang kawalan (CSA) gula,minyak masak dan tepung yang masih sah.

“Sebanyak 32kg minyak masak peket 1kg yang ditemui tersebut telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM80,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*