“Terima kasih doakan…” Anak luah rasa pilu, mayat papa lemas ditemui setelah 14 hari hilang

“Terima kasih doakan…” Anak luah rasa pilu, mayat papa lemas ditemui setelah 14 hari hilang.

Selama 14 hari dilaporkan hilang, mayat ahli perniagaan, Norhisyam Ismail, 43, yang dikhuatiri lemas ditemukan di Pulau Dollah, Pantai Kuda, Kota Bharu. Mangsa yang hilang di Sungai Kelantan pada 15 Januari lalu terjatuh dari Jambatan Sultan Ismail Petra ke Sungai Kelantan di Tendong, Pasir Mas.

Anaknya, Tasya Hisyam menerusi laman sosial TikTok berkongsi kesyukuran selepas doa yang dititip keluarga dan orang ramai dimakbulkan ALLAH.

“TERIMA KASIH KEPADA YANG MENDOAKAN PAPA SAYA AGAR CEPAT DITEMUI.

“ALHAMDULILLAH DENGAN KEHENDAK-NYA, ALLAH MENGANGKAT DOA KITA SEMUA. TERIMA KASIH (KEPADA) YANG MANA BERADA DI TANAH SUCI MENDOAKAN PAPA SAYA. TERIMA KASIH YA ALLAH,” KATANYA.

Dalam satu hantaran lain, wanita berkenaan turut berkongsi adik lelakinya dikenali sebagai Rayyan yang terkesan selepas pemergian bapanya.

Masih belum mengerti apa yang terjadi, si kecil mendambakan sentuhan dan kasih sayang Allahyarham.

“ABANG RAYYAN SELALU BERTANYA BILA PAPA AKAN HANTARNYA KE SEKOLAH.

“PADA USIA ENAM TAHUN, BELUM PUAS DENGAN BELAIAN SEORANG PAPA,” KONGSI TASYA.

Dalam usaha menjejaki jasad Norhisyam, pihak keluarga melakukan pelbagai usaha termasuk solat hajat berdekatan Jambatan Tendong.

"Terima kasih doakan..." Anak luah rasa pilu, mayat papa lemas ditemui setelah 14 hari hilang

Norhisyam terdahulu sempat menghubungi bapa mentuanya untuk datang mengambil keretanya yang rosak sebelum dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Kelantan pada 15 Januari lalu.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian ditamatkan semalam selepas usaha mencari mangsa selama sembilan hari gagal menemui sebarang petunjuk.

Seorang saksi mendedahkan beliau hanya mengetahui kewujudan mayat terdampar di pantai itu selepas dihubungi oleh rakannya yang sedang memancing di kawasan berkenaan kira-kira pukul 6 petang.

Rakannya yang berusia dalam lingkungan 30-an ketika itu sedang mencari bekas untuk menimba air dari dalam perahu.

Sementara itu, lapor wartawan Sinar Harian, Hazelen Liana Kamarudin, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kota Bharu, Pegawai Bomba Kanan II Che Mazlan Mohamad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.08 malam untuk membantu pihak polis mengambil mayat tersebut.

Menurutnya, anggota keluarga mangsa telah dipanggil untuk proses pengecaman mayat tersebut.

Keluarga kemudiannya mengesahkan mayat tersebut adalah mangsa yang hilang menerusi pakaian yang dipakainya.

Pemergian arwah meninggalkan empat cahaya mata berusia 17 tahun hingga 11 bulan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*