“Tak ada toleransi dan biadap” – Pemandu van lagak gengster, selamba cabut tanda parkir ibu bapa

Seorang pemandu van sekolah menerima kecaman pengguna media sosial apabila didakwa menanggalkan tanda parkir yang dikhaskan buat ibu bapa murid-murid pendidikan khas.

Menerusi hantaran yang dimuat naik Nora Idayu di dalam kumpulan Komuniti Kota Masai, pemandu van berkenaan turut dilihat menghalang kenderaan lain di hadapan sekolah.

Di dalam salah satu video dimuat naik kelihatan pemandu van sekolah itu menanggalkan ‘bunting’ tanda parkir yang dipasang sebelum menggulung dan meletakkannya di atas tembok.

Difahamkan tempat parkir itu disediakan untuk memudahkan ibu bapa untuk mengambil anak-anak yang berkeperluan khas.

“Kebiasaannya anak-anak berkeperluan khas ini balik awal satu atau dua jam awal dari murid arus perdana. Namun apabila bulan puasa masa masa pulang mereka agak hampir.

“Sebagai orang yang sempurna, seeloknya lebih bertolak ansur untuk pemandu van sekolah parkir jauh sedikit daripada biasa,” tulis pengguna di hantaran tersebut.

Tinjauan di ruangan komen mendapati beberapa ibu bapa turut dihalau oleh pemandu van yang sama untuk tidak parkir di kawasan sekolah tersebut.

“Anak saya sekolah situ. Dah banyak kali buat aduan pasal pemandu van. Tak bertimbang rasa, sebab tak reti sabar sampai hon berkali-kali. Padahal ibu bapa nak hantar tak sampai lima minit,” komen Rynn Qaman.

“Dari tahun lepas geng-geng van ini suka halau ibu bapa ambil anak-anak. Tak kira lah ibu bapa tu ambil anak aliran biasa atau berkeperluan khas. Siapa parkir situ mesti dia halau. Tak ada toleransi dan biadap. Lagak macam gengster,” komen Laila Fathia.

“Saya pernah sampai bertekak masa tu dengan dia, akhirnya saya mengalah je,” komen pengguna lain pula.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*