Sultan Ibrahim perintah pihak bertanggungjawab perjelas kelewatan pembinaan kolam selam tempur di Kem Iskandar

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memerintahkan pihak bertanggungjawab yang membina kolam selam tempur di Kem Iskandar, Mersing menjelaskan punca kelewatan pembinaan berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah, kolam itu sepatutnya siap sepenuhnya pada Disember 2022, namun sehingga kini ia masih dalam pembinaan.

“Malah, semalam saya dimaklumkan lanjutan masa sebanyak enam kali dimohon oleh pihak berkenaan. Hari ini saya mendapati papan tanda projek di tapak pembinaan pula dirobohkan.

“Mengapa ia dirobohkan, saya mahu perkara ini diperjelaskan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Johor dan Jurutera Daerah Mersing,” titah baginda.

Berikutan itu, baginda bertitah supaya papan tanda berkenaan dipasang semula di tapak projek terbabit.

Sebelum ini majlis pecah tanah disempurnakan oleh Sultan Ibrahim yang pada ketika itu adalah Sultan Johor.

Kolam selam tempur itu adalah satu kemudahan yang amat diperlukan oleh anggota 21 Grup Gerak Khas (GGK) bagi meningkatkan kecekapan individu dan kumpulan khususnya dalam menangani ancaman dari domain maritim.

Sebelum ini, kolam selam tempur 21 GGK itu dilaporkan dibina di kawasan seluas 2,787 meter persegi dalam kawasan Kem Iskandar dan dijangka siap dalam tempoh kurang setahun.

Kemudahan itu juga dilengkapi dengan pelbagai struktur lain termasuk model olokan (mock up) kapal dan pintu masuk bagi kemasukan melalui udara serta banyak lagi kemudahan asas sokongan operasi.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*