Status Ahli Parlimen selamatkan Hishammuddin dari dipecat

Penganalisis politik percaya Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein terselamat daripada pemecatan dan hanya digantung Umno memandangkan statusnya sebagai Ahli Parlimen.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata memandangkan undang-undang anti-lompat sudah berkuat kuasa, memecat Hishammuddin akan membebaskan Ahli Parlimen Sembrong itu untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) dalam blok pembangkang.

Selain itu, katanya, Hishammuddin boleh kehilangan kerusinya jika keluar Umno susulan penggantungan selama enam tahun.

“Itulah sebab utama mengapa Hishammuddin hanya digantung dan tidak dipecat seperti Noh Omar dan Khairy Jamaluddin. Khairy dan Noh boleh diketepikan kerana mereka bukannya Ahli Parlimen.

“Tindakan (dikenakan Umno) tidak akan menjejaskan kestabilan kerajaan sangat sebab 30 Ahli Parlimen BN secara teorinya masih lagi menyokong kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia, berkata pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin utama Umno mengukuhkan kedudukan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno.

Justeru, katanya, ia akan menyumbang kestabilan kepada kerajaan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim sehingga pilihan raya umum seterusnya.

“Tindak balas akan tercetus dari ahli Umno dan penyokong mereka yang mungkin menyokong PN menjelang pilihan raya negeri. Ramai daripada mereka sudah pun melakukan demikian pada PRU15, baru-baru ini,” katanya.

“Bagi Zahid, survivalnya menjadi keutamaan dan satu-satunya cara beliau boleh berbuat demikian dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat. Apa yang penting bagi Anwar adalah Zahid perlu menyatukan Umno, sekali gus mempertahankan kerajaan perpaduan.”

Kelmarin, Khairy dan Noh dipecat kerana melanggar disiplin parti, ketika PRU15.

Hishammuddin, bekas ketua penerangan, Shahril Hamdan, bekas Ahli Parlimen Jempol, Salim Sharif dan pemimpin Umno Tebrau, Maulizan Bujang
dikenakan penggantungan enam tahun.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi, mendedahkan Hishammuddin adalah “watak utama” membawa Ahli Parlimen BN menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas PRU15.

Beliau juga berkata, dirinya tidak pasti sebab pemecatan Khairy, namun menyifatkan Khairy sudah “melampau” susulan memburukkan parti dan Zahid, ketika kempen PRU15.

Azmi berkata, Zahid berada dalam kedudukan yang tersepit dan sukar kerana akan dituduh cuba menyekat suara bantahan dalam parti dengan bertindak terhadap mereka, selain dilihat lemah andai gagal mengenakan tindakan disiplin.

Katanya, Khairy dan Noh jelas menyerang parti sendiri pada PRU15, menjadikan Lembaga Disiplin mempunyai alasan memecat mereka.

“Tetapi, jika (Zahid) tidak bertindak, beliau akan dituduh terlalu lemah serta menjadikan suara membantahnya dalam Umno semakin nyaring,” katanya.

Azmi berkata, bagaimana tindakan itu akan diterima oleh akar umbi, akan diterjemahkan pada pilihan raya negeri, walaupun jawatan ‘top 2’ Umno tidak dipertandingkan.

“Sama ada tindakan ini memakan diri atau memberi kelebihan kepada kem Zahid akan diketahui menjelang pemilihan parti,” katanya.

Umno dijadual mengadakan pemilihan parti bagi ahli MKT dan pemimpin bahagian, pada 18 Mac.

Turut baca : PM Anwar ingatkan pemimpin jangan susahkan rakyat

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*