Sekolah sembunyi kes buli hingga ancam nyawa pelajar berdepan tindakan tegas

Gambar kanak-kanak berusia 9 tahun (kiri) yang meninggal dunia dipercayai dicekik abang kandungnya (kanan) di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu.

Pihak sekolah terutama sekolah berasrama di Melaka digesa tidak menyembunyikan sebarang insiden atau kes buli termasuk penderaan dalam kalangan pelajar mereka bagi mencegah kejadian lebih buruk berlaku.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, tindakan tegas akan diambil kepada pihak sekolah yang menyembunyi atau membiarkan perbuatan berkenaan berlaku terutama sehingga mengancam nyawa pelajar.

Beliau berkata, langkah melaporkan perbuatan buli kepada pihak berkuasa bertujuan mengekang kejadian yang lebih buruk terhadap mangsa seperti trauma sehingga memberi kesan negatif pada kehidupan pelajar berkenaan.

“Kes buli ini tidak membawa sebarang kebaikan kepada pelajar sama ada mangsa atau pembuli dan kebanyakan kes buli atau ‘ragging’ ini berlaku semasa sesi orientasi antara pelajar senior dan junior.

“Namun, di sesetengah sekolah terutama di sekolah asrama perbuatan ini menjadi kebiasaan dan berpanjangan selepas berakhir sesi orientasi sehingga memberi kesan fizikal dan mental kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Agensi Agama Islam Negeri Melaka pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kempen ‘Sifar Buli’ juga akan diperhebat bagi memupuk dan meningkatkan kesedaran berkaitan kesan atau implikasi buli dalam kalangan pelajar sekolah harian atau sekolah asrama.

Katanya, kempen berkenaan juga bertujuan mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selesa, selamat dan harmoni kepada pelajar.

Rahmad berkata, ibu bapa turut diminta prihatin dengan perubahan tingkah laku anak mereka dan mengambil berat aspek pembelajaran serta hubungan anak dan rakan di sekolah supaya masalah dihadapi anak dapat ditangani di peringkat awal.

Pada Rabu, media melaporkan, bapa kepada remaja lelaki yang mencekik hingga mati adik kandungnya di rumah mereka di Bukit Piatu, mendakwa anak sulungnya berusia 14 tahun itu, merupakan mangsa buli di sebuah sekolah menengah Arab di Alor Gajah.

Menurutnya kelakuan anaknya itu dikesan berubah selepas didakwa menjadi mangsa buli di asrama sejak tahun lepas dan suspek sebelum ini pernah memaklumkan kepadanya tentang kes buli yang menimpanya, malah laporan polis juga telah dibuat namun tiada tindakan lanjut dilakukan.

Beliau juga percaya kesan perbuatan tersebut menyebabkan anaknya itu mengalami trauma sehingga sering meracau.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa berusia sembilan tahun dilaporkan maut selepas dicekik abangnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*