Ayah mengucap panjang lihat anak sudah tidak bernyawa digilis keretapi

Pasir Mas: Pemuda maut dipercayai digilis kereta api di Kampung Tanjung;

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa, Mohammad Aqil Irfan Hizuan, 23, meninggal dunia di lokasi dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk dibedah siasat.

Bapanya, Hizuan Jusoh, 52, berkata, dia mengetahui kejadian yang menimpa anaknya selepas diberitahu adik ipar, Aiman Abd Rashid, 20, dan segera ke lokasi.

“Mengucap panjang saya melihat anak sudah tidak bernyawa dan parah di kepala.

“Saya kemudian mengangkat dan mengalihkan arwah. Saya jangka kejadian berlaku awal pagi kerana tubuhnya sejuk selain bajunya dipenuhi embun,” katanya ketika ditemui.

Menurut Hizuan, kali terakhir dia bertemu anak ketiga daripada lima beradik itu dua hari lalu, memandangkan Mohammad Aqil tinggal bersama datuknya sejak berusia 15 tahun di kampung berhampiran lokasi kejadian.

“Saya tidak berbual panjang dengannya dan dia juga kelihatan ceria seperti biasa, tiada sebarang tingkah laku meragukan,” katanya.

Hizuan berkata, dia dimaklumkan yang Mohammad Aqil ada menghantar pesanan WhatsApp meminta maaf kepada abangnya, Mohammad Zuhairi, 28, yang pulang ke Johor, malam tadi.

“Mereka berdua sangat rapat dan arwah meminta maaf kerana tidak sempat berjumpa sebelum abangnya itu pulang selepas cuti Aidiladha.

“Landasan kereta api ini sering digunakan penduduk termasuk arwah sendiri, jadi mungkin ketika kejadian, dia melintasi landasan untuk ke rumah bapa saudara yang berdekatan,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan berharap urusan pengebumian dipermudahkan.

Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal Kampung Jelujuk.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*