KEBELAKANGAN ini, tular pula isu mengenai ajaran sesat SiHulk yang dikatakan sudah menerobos masuk ke dalam negara dengan semakin ramai tidak malu membuat pengakuan terbuka mengenainya di media sosial.
Terus-terang, Cik Bunga seram bila masing-masing yang terlibat seakan tidak takut dengan apa yang diucapkan, mengatakan yang Baginda Rasulullah itu adalah Tuhan. Tak tergamak rasanya Cik Bunga nak tulis apa lagi yang dikatakan oleh mereka.
Sekali tengok, seakan-akan semuanya macam tak pernah dapat didikan asas agama. Masing-masing berani mempermainkan nama Tuhan.
Namun, satu yang menjadi kebimbangan Cik Bunga adalah, perkara ini boleh mempengaruhi sesiapa sahaja yang berfikiran dangkal. Tak kira siapa, apa latar belakang, apa profesion dan sebagainya.
Cik Bunga juga ada dengar yang ajaran ini juga sudah mula ‘menjangkiti’ industri seni kita apabila ada kalangan artis tempatan yang dikatakan terjebak dengan ajaran sesat ini. Cuma tidak buat pengakuan di media sosial saja macam yang lain-lain itu.
Tetapi, untuk terus menuduh si polan dan si polan mengamalkan ajaran ini, tak boleh juga. Sebab tiada asas kukuh, sekadar syak sahaja. Namun, kalau difikirkan logik, tak mustahil jika ada kalangan anak seni terpengaruh. Sebab, macam Cik Bunga katakan, benda ini tidak kira apa latar profesyen pun.
Harap-harap janganlah ada kalangan anak seni yang terjebak dengan ajaran sesat ini. Itulah pentingnya untuk ada asas agama yang kukuh supaya diri tidak terpesong ke jalan kesesatan.
Jadilah artis, penyanyi, pelakon, peragawati sekali pun, asalkan tahu diri, jaga batas agama. Kepada yang mungkin terlibat, Cik Bunga seru, kembalilah semula ke jalan yang benar. Segera taubat!
Leave a Reply