Rasuah lebih RM100 juta, 2 lelaki termasuk pegawai penguat kuasa suruhanjaya tinggi ditahan SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki termasuk seorang pegawai penguat kuasa di sebuah suruhanjaya tinggi kerana disyaki menerima wang rasuah bagi meluluskan permohonan visa warga Bangladesh.

Difahamkan, wang rasuah itu diterima bagi membolehkan warga Bangladesh terlibat memasuki Malaysia dengan menggunakan alasan untuk melancong.

Menurut sumber, siasatan mendapati pegawai penguat kuasa yang bertugas di suruhanjaya tinggi itu dipercayai bersubahat dengan agensi pekerjaan di Bangladesh dan Malaysia.

Ads by Kiosked
Jelasnya, pihak terlibat dengan sengaja telah menyalahgunakan Visa Luar Negara (VLN) bagi membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.

“Hasil siasatan mendapati pegawai tersebut melakukan perbuatan itu sejak 2021 selain dipercayai menerima bayaran sekitar USD300 (RM1,366) ke USD500 (RM2,276) bagi setiap kelulusan permohonan VLN.

“Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 sahaja,” katanya, tadi.

Menurut sumber, kedua-dua lelaki berusia lewat 30-an itu dipercayai ditahan kira-kira pukul 6.30 petang semalam, ketika diminta hadir ke SPRM Putrajaya.

“Seorang individu yang ditahan dipercayai pengarah urusan sebuah syarikat pembekal tenaga kerja yang bersekongkol dengan pegawai agensi penguat kuasa tersebut.

“Pegawai tersebut adalah pegawai agensi penguat kuasa ketiga ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia,” jelasnya.

Susulan penahanan tersebut, Majistret Mageshwary Muniandy telah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 31 Julai 2023 setelah pihak SPRM mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Shah Alam hari ini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*