“Saya insaf dan menyesal…” Ragut gadis hingga cedera, peragut menangis dipenjara lima tahun, dua sebatan

Seorang lelaki yang tular meragut seorang gadis sehingga cedera minggu lalu, menangis selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar membuat keputusan itu selepas tertuduh, Muhammad Syafi’ei Hasan,24, mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 21 April lalu.

Ini merupakan kali kedua tertuduh dipenjara dengan sebelum ini atas kesalahan dadah selama empat bulan sebelum dibebaskan pada 1 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Syafi’ei didakwa telah merompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap seorang gadis berusia 20 tahun di Jalan Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Perempuan Raja Zarina di sini, pada pukul 8.50 pagi, 15 April lalu.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada prosiding tersebut tertuduh dilihat menangis dan mengesat air matannya menggunakan baju berulang kembali ketika membuat rayuan sendiri selepas tidak diwakili peguam.

“Mohon hukuman diringankan dengan saya tidak akan mengulangi perbuatan ini lagi.

“Saya insaf dan menyesal perbuatan saya tambahan kedua-dua ibu bapa saya telah tua yang masing-masing berusia 64 dan 67 tahun dengan mereka mempunyai penyakit darah tinggi dan gout,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Siti Bahiyah Amir Haidi menjelaskan kejadian tersebut telah menyebabkan mangsa cedera parah dan boleh meragut nyawanya.

Tegasnya, Ini kesalahan serius dengan pengakuan salah awal tertuduh tidak menjamin mendapat secara automatik ‘diskaun’ dalam hukuman.

“Seperti video telah tular, mangsa dalam kes telah terjatuh di atas jalan raya dan bernasib baik tiada kenderaan lalu ketika itu.

“Terdapat papan pemuka kenderaan telah merakam setiap kejadian tersebut. Pihak pendakwaan menekankan kepentingan awam dan di Klang banyak kejadian ragut, Mohon hukuman berat,” katanya.

Dilaporkan perjalanan seorang gadis menuju ke tempat kerja bertukar malang apabila diragut penjenayah sehingga cedera di tangan, lutut dan bahu akibat terjatuh daripada motosikalnya di Jalan Persiaran Raja Muda Musa di sini, Isnin lalu.

Kejadian tular pukul 8.50 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 20 tahun cedera di tangan dan kaki selain mengalami kerugian sebanyak RM3,000 selepas beg silangnya yang mengandungi telefon bimbit Iphone 14, dokumen peribadi dan wang tunai RM114. dilarikan peragut.

Suspek kemudiannya berjaya ditahan kira-kira pukul 4.15 petang pada Ahad lalu ketika sedang makan di sebuah kedai di Pekan Kuah, Langkawi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*