Salahuddin : KPDN cadang perluas stesen minyak tidak bersubsidi

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperluas stesen petrol dan diesel tidak bersubsidi ke negeri sempadan, kata menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Di Perlis,  beliau berkata, negeri terlibat ialah Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

Menurut Salahuddin, beliau akan mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Projek rintis pembekalan petrol RON95 dan diesel di Perlis ini adalah inovatif kementerian bagi mengatasi isu ketirisan bahan api bersubsidi yang sering kali diseludup ke negara jiran.

“Kita cadangkan agar lebih banyak stesen minyak (stesen petrol dan diesel tidak bersubsidi) akan dibuka sebelah negeri sempadan iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Salahuddin berkata, sebelum ini kerajaan mengalami kerugian hampir RM150 juta setahun akibat ketirisan tersebut.

Beliau berkata, walaupun harga petrol RON 95 dan diesel diapungkan, harganya masih rendah berbanding negara jiran dan pada masa sama pengusaha stesen minyak tempatan masih mendapat keuntungan.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan pembekal minyak yang berminat untuk membuka stesen petrol dan diesel tidak bersubdi dan akan membantu dari segi mendapatkan lesen.

Terdahulu, Salahuddin turut menyampaikan 50 bakul Rahmah kepada mereka yang kurang berkemampuan di Perlis.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN, Datuk Azman Mohd Yusof; Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Azman Adam dan Pengarah KPDN Perlis, Norazah Jaapar.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*