{VIDEO} Tanam mayat : Pasangan kekasih berdepan hukuman mati

Sepasang kekasih warga India didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki warganegara sama yang mayatnya ditemui di belakang sebuah pusat jagaan orang tua di Subang Jaya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Varun Kumar, 30, dan teman wanitanya, Lachhami Devi, 23, di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh yang membawa hukuman mati kerana di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh Arshdeep Singh, 25, di sebuah rumah kebajikan orang tua di Subang Hill, Subang Jaya pukul 1.30 pagi pada 31 Oktober 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Arshdeep Singh merupakan suami Lachhami Devi.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad. Varun Kumar diwakili peguam Dr. Pritam Singh Doal manakala Lachhami Devi tidak diwakili peguam.

Tiada ikat jamin dibenarkan dan mahkamah menetapkan 14 April ini bagi sebutan semula kes.

Kosmo! Ahad pada 5 Februari lalu melaporkan kisah tragis pembunuhan seorang lelaki sembilan bulan lalu terbongkar selepas polis menemui plastik berisi mayat di belakang sebuah pusat jagaan orang tua, Subang Jaya.

Mangsa dilaporkan dibunuh rakan senegaranya selepas tembelangnya yang menjalinkan hubungan dengan isteri si mati terbongkar. Mangsa dikelar menggunakan pisau sebelum mayatnya ditanam di belakang banglo pusat jagaan berkenaan.

Komplot pembunuhan itu terbongkar selepas seorang lelaki terdengar perbualan suspek mengenai tindakannya membunuh mangsa. Polis menjalankan soal siasat terhadap suspek sebelum bergerak ke lokasi mayat mangsa ditanam.

Susulan itu, polis menahan isteri mangsa dan kekasihnya yang juga warga India. Kesemua mereka bekerja di pusat jagaan orang tua itu dan motif pembunuhan lelaki itu dipercayai ekoran mangsa mengetahui hubungan sulit suspek dan isterinya.

Mangsa berkahwin dengan isterinya di India pada 2018. Pasangan itu tidak mempunyai anak.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*