PM Anwar : Akaun Bersatu dibeku, kalau bersih, jangan takut

Parti politik tidak seharusnya takut dengan sebarang tindakan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika bebas daripada rasuah, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata tindakan seperti membekukan akaun bank milik parti politik bukanlah perkara baru dan harus dibenarkan diteruskan tanpa gangguan.

“Umno dulu (ketika akaun dibekukan) Muhyiddin (Yassin) sokong,” kata Anwar merujuk ketika presiden Bersatu itu menjadi perdana menteri.

“Muhyiddin malah memuji profesionalisme SPRM,” kata presiden PKR itu pada sidang media petang semalam.

“Kalau bersih, usah takut,” tambahnya.

Anwar berkata Bersatu perlu bersedia untuk memberi penjelasan sekiranya perlu dan tidak mengganggu badan penguatkuasa, sama ada polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau SPRM.

“Dan jika ada pendakwaan, biarlah badan kehakiman bertindak secara bebas,” kata presiden PKR itu.

Selain itu Anwar juga mengingatkan ahli politik supaya tidak menggunakan retorik agama atau perkauman untuk mewajarkan perbuatan rasuah.

“Bagaimana mungkin mana-mana agama digunakan untuk mempertahankan rasuah dan salah guna kuasa, apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap akaun Bersatu dan mengatakan dua akaun parti itu telah dibekukan bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Pendedahan itu dibuat hanya dua hari selepas parti itu mengisytiharkan penyata akaunnya bagi tahun 2020 dan 2021, dalam usaha untuk menafikan dakwaan rasuah.

Pada Khamis lalu, Muhyiddin berkata pihaknya akan menulis surat kepada SPRM bagi meminta pihak berkuasa itu membatalkan pembekuan akaun Bersatu.

Muhyiddin berkata ia perlu bagi memastikan parti itu terus beroperasi termasuk membayar gaji kakitangan dan sewa pejabatnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*