PKMM sedia bantu SPRM siasat projek Jana Wibawa

Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkait Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan, berkata bagaimanapun setakat ini, persatuan itu tiada dipanggil atau dihubungi SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

Buat masa ini, beliau memaklumkan, tiada ahli PKMM terbabit projek itu, namun pihaknya bersedia untuk memberi kerjasama membantu siasatan berkenaan.

“Saya mengesahkan persatuan memang sedia maklum mengenai projek Jana Wibawa, malah pernah membangkitkan isu ini kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyatakan komitmen untuk menyiasatnya.

Projek Jana Wibawa diberikan secara tender runding terus dan tender terpilih yang mana ia diberikan kepada kontraktor mesra pada parti tertentu,” dakwanya kepada BH.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kementerian Kewangan (MoF) mengarahkan pelaksanaan projek Jana Wibawa ditangguhkan untuk meneliti semula sama ada tatacara perolehannya mengikut peraturan ditetapkan oleh perbendaharaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dipetik berkata, penangguhan projek bernilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan secara tender terpilih atau runding terus.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan beliau sudah memberi keterangan kepada SPRM mengenai projek Jana Wibawa.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pula menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan kepada SPRM jika dipanggil.

Muhyiddin dilaporkan berkata, keterangan diberi adalah berkait penganugerahan kepada kontraktor dipilih bawah projek berkenaan, yang didakwa pihak tertentu bahawa berkemungkinan wujud tatacara perolehan tidak mengikut peraturan ditetapkan.

Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan, SPRM memaklumkan beliau dipanggil memberi keterangan bagi melengkapkan siasatan dan bukan suspek yang dikaitkan untuk sebarang tindakan pendakwaan.

Bagaimanapun, SPRM hari ini mengesahkan Muhyiddin merupakan antara suspek disiasat bagi projek Jana Wibawa.

Sumber SPRM dipetik berkata, dalam siasatan agensi itu, Muhyiddin adalah suspek siasatan ketika beliau dipanggil memberi keterangan.

Mengulas lanjut, Mohamed Fadzill mendakwa, pemberian projek secara tender rundingan terus dan terpilih itu adalah ‘rahsia terbuka’ yang diketahui kontraktor Melayu serta Bumiputera.

Beliau mendakwa, perkara yang menjadi pertikaian persatuan itu ialah projek diberikan kepada syarikat yang mesra dengan parti tertentu walaupun mereka tiada pengalaman dan kepakaran.

“Kita bukan cemburu dengan mereka yang mendapat projek Jana Wibawa, namun penganugerahan projek perlu adil dari segi pemilihan berdasarkan kemampuan, pengalaman serta profesionalisme, dan bukan siapa yang baik dengan Perdana Menteri (ketika itu) atau menteri (ketika itu) yang menganugerahkan projek,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PKMM menggesa MoF mendedahkan maklumat terperinci mengenai mereka yang sudah diberikan projek Jana Wibawa, termasuk jumlah diluluskan, siapa terbabit dan apa kesalahan didakwa mereka lakukan.

“Kami turut ingin mengetahui projek apa dan siapa dapat dan tindakan patut diambil. Selain itu, kami mahu tindakan bukan hanya dikenakan terhadap syarikat kontraktor terbabit Jana Wibawa tetapi juga pegawai kerajaan sama ada di MoF, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang terbabit dalam proses pemilihan kontraktor itu,” katanya.

Untuk rekod, Jana Wibawa diperkenalkan kerajaan bawah pentadbiran Muhyiddin bagi mempercepat pelaksanaan projek bertujuan merancakkan ekonomi negara ketika serta pasca pandemik COVID-19, selain meningkatkan kapasiti kontraktor Bumiputera dalam industri pembinaan supaya lebih berdaya saing, berdaya tahan dan berpotensi.

Sebelum ini, kerajaan dilapor memudahkan kaedah pelaksanaan projek Jana Wibawa secara tender prakelayakan atau rundingan terus supaya impak pelaksanaan segera dapat dirasai oleh ekonomi dan rakyat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*