Penemuan al-Quran dalam longkang gemparkan penduduk di sekitar Kepong

Penemuan sebuah beg berisi beberapa naskah kitab al-Quran di dalam sebuah longkang telah menggemparkan penduduk di sekitar Kepong.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang merupakan ahli Persatuan Nelayan Kebangsaan mengenai penemuan beg berisi kitab suci agama Islam itu dalam longkang.

Wanita itu mendakwa dia menjumpai kitab berkenaan yang disyaki sengaja dibuang di dalam longkang itu ketika sedang beriadah bersama suaminya di kawasan Tasik Sri Murni Jinjang sekitar jam 11.32 pagi tadi.

“Siasatan polis mendapati kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada Sabtu jam lebih kurang 6.30 petang selepas sebuah video mengenai penemuan tersebut juga telah tular di platform media sosial TikTok.

“Hasil siasatan awal mendapati pengadu yang sedang beriadah bersama suaminya telah ternampak sebuah beg berwarna biru di dalam longkang berdekatan dengan kolam takungan tasik sebelum senaskah al-Quran dalam keadaan terbuka dan telah terkeluar dari beg tersebut.

“Kemudian, pengadu telah meminta bantuan dari seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali untuk membawa naik beg itu dan kesemua naskah al-Quran itu telah dibawa keluar dan dihantar ke Masjid Annas, Kampung Selayang Lama untuk disimpan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Eng Lai, polis telah membuat semakan di platform media sosial TikTok dan mengesahkan terdapat satu hantaran yang berkaitan dengan aduan yang dilaporkan oleh pengadu seperti mana dipautan https://vt.tiktok.com/ZS8mYtW4L/ .

Katanya, hasil siasatan awal mendapati sebanyak 13 naskah al-Quran yang telah dijumpai di dalam longkang sebenarnya sengaja dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.

Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan kerana membinasakan apa-apa benda dipegang suci al-Quran dengan tujuan untuk mengaibkan agama dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana mendatangkan mudarat keharmonian ke atas agama.

“Kesemua naskah al-Quran yang ditemui dalam longkang tasik itu kini telah diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan lanjut.

“Polis Kuala Lumpur menasihati semua orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mendatangkan kebimbangan serta menjejaskan ketenteraman awam terutama kepada masyarakat umum,” katanya.

Pada masa yang sama, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibupejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482206 bagi membantu siasatan lanjut polis.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*