Pengetua berputih mata wang bantuan awal persekolahan lebih RM100,000 lesap dilarikan perompak

Wang tunai bantuan awal persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang baharu sahaja dikeluarkan dari sebuah bank lesap dilarikan perompak dalam kejadian di Semenyih, dekat Kajang.

Dalam kejadian 10 pagi semalam wang BAP itu dikeluarkan guru besar sebuah sekolah dari bank di Kampung Baru Semenyih sebelum ia ditinggalkan di dalam kenderaan miliknya.

Ketua Polis Kajang, Mohd Zaid Hassan, berkata siasatan lanjut mendapati selepas mangsa yang berusia 50 tahun mengeluarkan wang itu yang berada di dalam sebuah beg, ia kemudian ditinggalkan di dalam kenderaan mangsa jenis Toyota di bahagian tempat duduk hadapan sebelah penumpang.

Katanya, mangsa kemudian pergi ke sebuah restoran untuk membeli minuman.

“Selang hampir 10 minit apabila dia kembali ke kenderaan, mangsa mendapati cermin kereta miliknya dipecahkan di bahagian kanan penumpang belakang, dan beg berisi wang tunai tersebut telah dicuri,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, polis kini giat mengesan suspek terlibat dan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan berhubung dengan balai polis atau terus dengan pegawai penyiasat kes Ahmad Rahmat Adnan di talian 014 5156933 bagi membantu siasatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*