Pegawai kanan polis lindung sindiket haram diarah isytihar harta

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memberikan notis pengisytiharan harta, dengan tarikh akhir pada 28 April kepada pegawai kanan polis yang ditahan kerana disyaki melindungi sindiket haram di ibu negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata pihaknya masih menunggu pengisytiharan harta daripada pegawai kanan terbabit.

“Kes berkenaan akan dibawa kepada timbalan pendakwa raya bagi arahan selanjutnya untuk pertuduhan atau sebaliknya.

“Selain itu, kes ini masih dalam siasatan kami dan selepas 28 April ini pegawai penyiasat SPRM akan menyegerakan tindakan penyiasatan berhubung apa yang dilaporkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat SPRM cawangan Gua Musang yang baharu di tingkat 1, Bangunan Persekutuan daerah itu.

Azam berkata, selepas menerima notis pengisytiharan harta daripada pegawai penyiasat SPRM, beliau memberikan tempoh dua minggu kepada pegawai terlibat untuk menyiapkan laporan akhir kes berkenaan.

Menurutnya, proses penyiasatan perlu mengikut undang-undang sebelum pertuduhan dilakukan meskipun terdapat penemuan wang tunai di premis milik pegawai kanan polis terbabit.

“Ada satu perkara yang mengikut undang-undang kita perlu patuhi yang mana beliau telah diberi notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 yang menghendaki dia (pegawai kanan polis) untuk mengisytiharkan hartanya,” katanya.

Pada 23 Mac, seorang pegawai kanan polis yang bertugas di IPK Kuala Lumpur ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Berikutan itu, hasil pemeriksaan di beberapa premis milik pegawai kanan tersebut berjaya menemukan wang tunai lebih RM2 juta.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*