Pasangan kekasih ‘kantoi’ berkhalwat ketika ibu bapa tiada di rumah

Sepasang kekasih yang merupakan pekerja tapak pesta ria dicekup penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) kerana disyaki berkhalwat di Taman Mutiara, Sungai Kob, di sini tengah malam tadi.

Pasangan berusia 23 tahun itu ditahan di rumah keluarga wanita terbabit kira-kira pukul 12.13 tengah malam ketika ketiadaan ibu serta bapa tirinya dengan membawa teman lelaki pulang ke rumah.

Pegawai Penguat Kuasa PADK, Anwar Sharifudin Mat Saad berkata, pemeriksaan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung perbuatan pasangan itu.

Katanya, penguat kuasa bertindak mengetuk pintu serta memberi salam sebelum seorang wanita membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan di dalam rumah.

“Pemeriksaan menemui seorang lelaki di dalam bilik kedua di rumah tersebut dan hasil soal siasat mendapati mereka bukan pasangan suami isteri atau mahram. Perbuatan pasangan itu menimbulkan syak berlakunya maksiat di rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat kedua-dua mereka bekerja di tapak pesta ria di taman perumahan itu dan lelaki terbabit menetap di Sungai Ular, di sini.

“Lelaki itu memberi alasan rumahnya jauh dari tempat kerja menyebabkan dia mengambil peluang menumpang di rumah wanita terbabit ketika ibu wanita itu berada di rumah abangnya di Pahang, manakala bapa tirinya tiada di rumah kerana bekerja,” ujarnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*