Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berharap agar Akta Perkhidmatan Parlimen yang dimansuhkan pada tahun 1992, dikembalikan semula bagi memastikan Parlimen bebas daripada kuasa eksekutif.
Dalam ucapan perbahasan Titah Diraja hari ini, Amirudin berkata Parlimen perlu diperkasakan semula dengan mempercepatkan pelaksanaan semula akta berkenaan supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat mempunyai kuasa penuh untuk membuat keputusan.
Akta tersebut membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangan dan mengawal perbelanjaannya.
Menurut Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor, beliau tidak mahu Dewan Rakyat dijadikan tempat hanya untuk bercakaran sesama Ahli Parlimen dan saling melemparkan sindiran-sindiran politik.
“Selepas akta ini dimansuhkan, kelihatan Parlimen sudah menjadi seperti rubber stamp ataupun Parlimen hanya menjadi satu tempat untuk meluahkan perasaan.
“Apatah lagi hari ini apabila ada tajamnya antara oposisi dan kerajaan, maka ia kelihatan menjadi tempat sindiran politik yang kemudian menjadi perbalahan berterusan.
“Justeru, saya percaya adalah menjadi tanggungjawab kita yang ingin melihat perkembangan Parlimen lebih baik, kita perlu bersama-sama mengubah sistem ini dan naikkan martabat Ahli Parlimen dengan mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen yang menetapkan Speaker pada kedudukan mulia dan meningkatkan kedudukan kita sebagai wakil rakyat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Pada masa sama kata Amirudin, langkah mengembalikan akta ini perlu bersekali dengan penambahan beberapa jawatankuasa supaya isu berkaitan rakyat dapat dibincang lebih kerap dan terperinci.
Antaranya ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Anak-anak Syarikat dan Badan Berkanun; Jawatankuasa Pilihan Khas Federalisma; Jawatankuasa Pengangkutan Awam untuk meneliti kesesakan di bandar-bandar utama; Jawatankuasa Mobilisasi Sosial; dan Jawatankuasa Masyarakat Menua
Selain itu dengan adanya Akta Perkhidmatan Parlimen, Amirudin menyatakan keyakinan bahawa kerajaan dapat melantik Speaker yang lebih berkuasa, yang boleh menentukan pegawainya, dan yang mempunyai peruntukannya sendiri.
Ini sekaligus katanya bertepatan dengan doktrin pemisahan kuasa.
Leave a Reply