Nik Nazmi : Kelantan perlukan pembangkang yang kuat

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan Kelantan memerlukan gabungan pembangkang yang kuat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pembangkang yang kuat itu bagi memastikan tugas semak dan imbang pentadbiran Pas Kelantan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Tumpuan Pakatan Harapan (PH) dan BN lebih kepada untuk menjadi pembangkang yang kuat dan bukan menggantikan kerajaan sedia ada.

“Perkara ini, kalau ada pembangkang yang kuat di Dewan Undangan Negeri (DUN) perkara tersebut dapat dibahaskan secara lebih mendalam dan pandangan berbeza dapat dibangkitkan,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Makan Malam PKR bersama pengamal media Kelantan di sini pada Ahad.

Menurut beliau, PKR sudah menjalankan kajian sikap kepada rakyat negeri ini menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ujarnya, melihat keputusan itu Kerajaan Perpaduan perlu bekerja lebih keras untuk menawan hati rakyat Kelantan pada PRN nanti.

Nik Nazmi berkata, PH dan BN perlu merangka strategi terbaik kerana Pas sudah mentadbir negeri ini lebih 30 tahun.

“Bagaimanapun, kita lega PRN kali ini hanya melibatkan pertembungan dua penjuru di negeri ini antara Pas dengan PH dan BN sahaja.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*