Menu Rahmah : NGO gesa PN kemuka alternatif, bukan kritik semberono

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Perikatan Nasional (PN) mencadangkan alternatif makanan mampu milik kepada orang awam.

Gesaan itu dibuat setelah anggota parlimen Kapar Halimah Ali mengaitkan Menu Rahmah dengan kebimbangan mengenai “makanan berkualiti rendah” yang didakwa boleh mendedahkan orang ramai kepada risiko penyakit, termasuk kanser dan autisme.

“Abim tegaskan wakil rakyat PN yang ditampilkan sebagai kabinet bayangan kepada jemaah menteri kerajaan perpaduan ini, perlu berperanan memberikan alternatif serta menjuarai isu rakyat secara ilmiah.

“Ini adalah fungsi dan peranan kabinet bayangan jika PN ingin membuktikan mereka bersedia menjadi kerajaan,” kata Presiden Presiden Muhammad Faisal Abdul Aziz.

Inisiatif Menu Rahmah dilancarkan oleh kerajaan bulan lepas dalam usaha mengurangkan kos sara hidup.

Melalui inisiatif itu, pelanggan boleh membeli makanan pada harga RM5 dan ke bawah, terdiri daripada nasi, ayam, atau ikan, dan sayur-sayuran dengan air kosong.

Ia tidak melibatkan sebarang dana kerajaan kerana pihak swasta menyertainya secara sukarela.

Halimah mencetuskan kontroversi selepas meluahkan kebimbangannya mengenai kualiti Menu Rahmah semasa perbahasan di parlimen pada Selasa.

Bagaimanapun, ketika diasak pemberita semalam, dia menafikan yang dia bermaksud Menu Rahmah boleh menyebabkan masalah kesihatan seperti autisme.

Mendakwa media memutar belit kenyataannnya, dia berkata “cuma cakap berhati-hati” dan tidak terlalu sehingga restoran terpaksa menerima tekanan kerajaan.

Dalam kenyataan hari ini, Faisal berkata PN tidak seharusnya mengambil pendekatan mudah dengan mempertikai secara semberono tanpa mengemukakan inisiatif yang lebih baik.

Dia juga menzahirkan rasa terkilan dengan ucapan Halimah yang mengaitkan menu Rahmah dengan risiko penyakit autisme dan kanser.

“Keadaan ini amat mendukacitakan kerana seseorang ahli parlimen harus mengemukakan penyelesaian yang boleh menambah baik kehidupan rakyat.

“Beliau tidak seharusnya memperlekeh sebarang inisiatif baik yang mendapat perhatian rakyat seperti menu Rahmah, dengan sentimen untuk mendapatkan populariti politik semata-mata,” kata Faisal.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*