Nenek terkilan tak sempat kirim makanan kegemaran cucu

Seorang nenek tidak dapat menahan sebak apabila kehilangan cucu kesayangan, anak serta menantu yang dijemput Ilahi dalam kemalangan membabitkan dalam kejadian di Jalan Persiaran Tanjung Tampoi di sini petang semalam.

Catherine John, 68, ibu kepada Mohammad Shahril Abdullah, 38, berkata, dia juga terkilan kerana tidak sempat mengirimkan makanan kegemaran buat cucunya, Muhammad Dany Lukman Naim, 10.

“Saya terkejut bila ahli keluarga menantu saya hubungi saya memaklumkan anak, menantu dan cucu sudah tiada sebab kemalangan.

“Semalam saya keluar ke pasaraya (Lotus) membeli beberapa barang keperluan serta makanan kegemaran cucu saya iaitu lobak merah, roti coklat dan kentang. Dia suka makan ‘carrot’ mentah macam itu sahaja.

“Sepatutnya, pagi ini anak saya (Mohammad Shahril) datang jumpa saya untuk datang ambil makanan ini, tetapi hari ini, mereka sudah pergi, saya pula datang tengok mereka di sini,”katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Catherine berkata, Muhammad Dany merupakan anak tunggal kepada Mohammad Shahril bersama menantunya, Habsah Jailani, 41, yang berasal dari Sri Aman, Sarawak dan cucu ketiga.

Menurut nenek lima cucu itu, sebelum kejadian, Mohammad Shahril menunggang motosikal Yahama 135LC dibonceng Habsah dan Muhammad Dany dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai pemeriksaan kesihatan cucunya di Klinik Kesihatan Kempas.

“Mereka sekeluarga memang rapat dan tidak boleh berenggang, ke mana sahaja mereka pergi, mereka akan pergi bersama, saya dan mereka semua semua rapat dan selalu berhubung.

“Saya selalu berdoa kepada tuhan agar mereka selalu bersama dan tidak sangka mereka meninggal pun bersama, kali terakhir berhubung petang semalam sebab minta anak saya itu datang ambil barang yang saya beli untuk cucu, saya selalu kirim untuk mereka,”katanya.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kas Noor, Kampung Sungai Danga di sini selepas solat zohor hari ini.

Terdahulu, Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, kemalangan meragut nyawa tiga beranak itu berlaku pada pukul 4.40 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati penunggang disyaki gagal mengawal motosikal sebelum melanggar bahagian belakang lori Mitsubishi Fuso yang berhenti di lorong tengah semasa lampu syarat berwarna merah.

Ujarnya, akibat kemalangan itu ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*