Lokman Adam ‘dedah’ strategi PN ‘rampas’ kerajaan pusat

Perikatan Nasional (PN) didakwa sedang berusaha untuk mengambilalih Umno melalui pemilihan parti itu akan datang di samping menarik sebuah parti di Sarawak untuk bersama mereka bagi membolehkan mereka merampas kerajaan pusat.

Anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, usaha mengambil alih Umno akan berjalan dalam pemilihan parti itu pada 11 dan 18 Mac 2023 akan datang.

Bagi beliau, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang di Parlimen kelmarin mengesahkan Perikatan Nasional (PN) memang sedang berusaha untuk merampas kerajaan pusat dari Kerajaan Perpaduan.

“Haji Hadi mengatakan, kalau ada usaha tebuk atap jangan salahkan Perikatan Nasional tetapi kerana bumbung bocor.

“Sebenarnya usaha untuk menebuk atap ini sedang berjalan dengan rakusnya malah ada percubaan untuk mengambil alih kepimpinan Umno dan juga cubaan untuk memujuk rakan-rakan kita di Sarawak malah mereka menawarkan jawatan perdana menteri pula kepada Sarawak,” kata Lokman.

Hadi dalam Dewan Rakyat semalam berkata, sekiranya pentadbiran PH runtuh lagi, maka gabungan pembangkang hari ini tidak boleh dipersalahkan.

“Kalau jatuh lagi, jangan salahkan kami. Bukan tebuk atap, tetapi atapnya bocor, pintunya terbuka dan dindingnya pecah.

“Kejayaan menukar kerajaan bukan melalui tebuk atap, tetapi atapnya bocor dan dinding kacanya yang berkecai,” kata Hadi yang mendakwa PN sudah cukup jumlah untuk membentuk kerajaan sebaik sahaja selesai PRU15 lalu.

TOLAK BROKER PN

Lokman meminta semua ahli Umno memastikan semua penyokong broker Mahiaddin ditolak dalam pemilihan kali ini.

Bagi Lokman, apa yang perlu dilakukan oleh pemimpin dan ahli Umno dari seluruh negara adalah memastikan Umno tidak lagi menjadi alat Tan Sri Mahiaddin Md Yassin mempermainkan Umno dengan menolak broker-broker beliau yang kini berada dalam Umno, dalam pemilihan nanti.

“Sekarang ini masih ada 12 MP Umno yang sedia jadi alat Mahyiddin untuk menjadi perdana menteri.

“Mereka inilah juga yang menjadi broker untuk membeli MP-MP Umno untuk menyokong PN sebelum ini.

“Sekarang ini kita kena pasti mereka dan penyokong mereka tidak mendapat tempat dalam Umno dalam pemilihan parti 11 dan 18 Mac ini,” kata beliau.

Lokman memberikan amaran agar peristiwa Umno dan pemimpinnya dipermainkan ketika Mahiaddin menjadi perdana menteri dahulu tidak berulang.

“Masa Ismail Sabri menjadi PM juga Umno masih dipermainkan apabila beliau terikat dengan perjanjian dengan Mahiaddin,” kata Lokman.

Menurut Lokman, Umno mempunyai alasan yang kuat kenapa mereka tidak boleh bekerjasama dengan PN.

“Kalau kita kerjasama dengan PN, jangan harap kita hendak bertanding di kerusi yang sudah dimenangi oleh Pas atau Bersatu sekarang,” katanya, sedangkan itulah kerusi tradisi Umno yang mendapat sokongan di kalangan orang Melayu sebelum ini.

Katanya, Umno yakin, bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) adalah terlebih baik buat Umno dan BN berbanding bekerjasama dengan PN.

“PH mempunyai kekuatan di kalangan pengundi bukan Melayu (dan pengundi bandar) manakala kita Umno kukuh di kalangan pengundi Melayu jadi kita tidak banyak berebut kerusi antara satu sama lain.

“Jadi kerjasasama ini baik berbanding bekerjasama dengan PN,” katanya yang juga berkata, kerjasama dalam kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berjalan baik.

Beliau juga memaklumkan, kerjasama antara Umno dengan PH juga semakin baik terutama di enam negeri yang akan diadakan pilihan raya pertengahan tahun ini nanti.

  • Turut baca : Lokman : Tauke perabot dari Pagoh ‘proksi’ Mahiaddin

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*