Isu rasuah di laut, seorang lagi leftenan ditahan SPRM

Seorang pegawai kanan di sebuah agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot sebagai balasan melindungi dan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas nelayan yang melakukan kesalahan.

Penahanan lelaki berusia 34 tahun itu menjadikan tangkapan membabitkan penjawat awam kepada enam orang manakala selebihnya lima orang awam dalam operasi Op Tunda di Kedah.

Satu sumber mendedahkan, suspek dikatakan menerima suapan selepas tidak mengambil tindakan ke atas bot nelayan di bawah Akta Perikanan 1985 bagi tempoh antara 2015 hingga 2022.

“Suspek berpangkat Leftenan itu dipercayai bertugas di Langkawi ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM, Kedah kira-kira pukul 9.30 pagi semalam,” katanya.

Kata sumber, suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar pagi ini untuk permohonan reman.

“Perintah reman selama lima hari bermula hari ini hingga 5 Mac 2023 terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurshahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Semalam, SPRM menahan reman 10 individu termasuk seorang wanita terdiri daripada lima penjawat awam dan lima orang awam berusia antara 26 hingga 57 tahun bagi membantu siasatan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*