Lambat kahwin, anak sedikit jadi ‘trend’

Lambat kahwin, anak sedikit jadi ‘trend’. Ramai golongan muda di negara ini lebih menumpukan kepada kerjaya dan kestabilan kewangan berbanding perkahwinan serta memiliki anak yang secara tidak langsung menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran di negara ini.

Malah, memiliki anak yang sedikit dilihat menjadi trend di negara-negara maju yang menjadi ikut-ikutan masyarakat di negara-negara membangun.

Lambat kahwin, anak sedikit jadi 'trend'

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, ramai generasi muda terpengaruh dengan trend berkenaan.

“Di negara ini, ramai wanita berbanding lelaki sanggup menyambung pendidikan hingga pengajian tinggi yang menyebabkan mereka memberi lebih fokus untuk mengukuhkan kerjaya berbanding mendirikan rumah tangga dan melahirkan anak.

“Malah, terdapat segelintir pasangan yang berkahwin lambat dan membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak langsung kerana menyedari kehamilan lewat boleh menyebabkan masalah kesihatan kepada anak seperti down syndrome.

“Pada masa sama, terdapat pasangan yang berkahwin lambat dan mengambil keputusan untuk mempunyai satu atau dua anak sahaja,” katanya.

Terdahulu, dilaporkan kadar kelahiran di negara ini menunjukkan penurunan yang ketara yang memberi kesan masa panjang daripada aspek pembangunan sumber manusia.

Ini dapat dilihat melalui kadar pertumbuhan penduduk yang menurun daripada 2.1 peratus pada 2010 kepada hanya 1.7 peratus pada 2020.

Sharifa Ezat berkata, pandemik Covid-19 turut menjadi salah satu punca penurunan kadar kelahiran berikutan tekanan kewangan dan ekonomi negara yang tidak stabil.

Katanya, pencemaran yang semakin meningkat dan pemakanan yang tidak sihat juga penyebab kepada kurang kesuburan tidak kira perempuan mahupun lelaki.

“Generasi muda sekarang ramai aktif secara seksual tetapi membuat keputusan untuk tidak mempunyai anak, jadi menggunakan pelbagai kaedah kontraseptif seperti pil perancang dan kondom untuk mencegah kehamilan.

“Pasangan muda terutama yang mempunyai keadaan kewangan yang kurang stabil melihat anak sebagai liabiliti dan beban,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu bagi pasaran kerja negara sekarang adalah baik kerana dapat dilihat kesaksamaan jantina di tempat kerja apabila anak muda mendahulukan kerjaya, namun pada masa akan datang negara akan kekurangan pekerja dan harus bergantung kepada pekerja asing.

Lambat kahwin, anak sedikit jadi 'trend'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*