Kes Rasuah : Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut didakwa kali ketiga

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad dituduh buat kali ketiga di Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.

Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa meminta suapan itu daripada Lian Tan Chuan sebagai upah membantu Syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada kerajaan Malaysia, di sebuah restoran di Damansara, Januari tahun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh memohon mahkamah menggunapakai jaminan RM300,000 dengan dua penjamin yang ditetapkan terhadap tertuduh di Mahkamah Shah Alam, sebelum ini.

Menurutnya, tertuduh telah didakwa di mahkamah berkenaan pada 22 Februari lalu atas kesalahan rasuah.

“Pendakwaan akan memohon supaya kes di Mahkamah Shah Alam dan di mahkamah ini dibicarakan bersama namun, kami masih belum mendapat arahan sama ada kes akan dibicarakan di Shah Alam atau di sini,” katanya yang turut dibantu seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat.

Peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Adam Radlan tidak membantah perkara itu.

“Bagi maklumkan mahkamah, anak guam saya turut dikenakan syarat tambahan iaitu melapor diri ke pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali dan pasportnya juga telah diserahkan kepada mahkamah,” katanya.

Azura kemudian membenarkan tertuduh menggunapakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, berserta syarat tambahan sama selain menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes.

Pada 21 Februari lalu, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Adam Radlan turut didakwa menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*