Tuding jari Zahid dalang, BN tuntut Muhyiddin, Azmin mohon maaf

Barisan Nasional (BN) mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik balik tuduhan yang dilemparkan terhadap Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa sebagai ‘dalang’ dan ‘perancang’ kepada pertuduhan ke atas Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bahagian Komunikasi BN, Muhyiddin dan Mohamed Azmin turut digesa memohon maaf secara terbuka.

Kedua-duanya juga perlu membayar balik pampasan ganti rugi di atas kenyataan serta fitnah yang telah dilakukan.

“Satu surat tuntutan (Letter of Demand) telah dihantar oleh pihak guaman kepada penama, Tan Sri Muhyiddin dan Datuk Seri Azmin sebagai tindak balas daripada tuduhan tidak berasas yang dikeluarkan.

“Dalam surat berkenaan, kedua-dua penama tersebut dituntut supaya menarik balik kenyataan mereka dan memohon maaf secara terbuka.

“Datuk Seri (Dr) Ahmad Zahid tidak pernah sesekali menyalahgunakan jawatan dan kedudukannya untuk mendakwa pemimpin-pemimpin daripada PN.

“Timbalan Perdana Menteri kini sebaliknya memfokuskan pengurusan hal ehwal negara khususnya meningkatkan kesejahteraan dan ekonomi hidup masyarakat desa,” jelas kenyataan berkenaan pada Isnin.

Bahagian Komunikasi BN menambah, fitnah liar tidak boleh dibiarkan berlarutan sebagai bahan penipuan dalam meloloskan diri daripada dakwaan kesalahan jenayah yang telah dilakukan.

Tindakan menuding jari katanya, dilihat seperti langkah yang biasa dilakukan untuk menutup kelemahan dan menjadikan diri mereka seolah-olah sebagai mangsa pendakwaan politik.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*