Pharmaniaga catat kerugian RM607 juta

Pharmaniaga Bhd telah mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya, dengan peruntukan RM552 juta untuk “saham vaksin Covid-19 yang bergerak perlahan” sehingga mendorong syarikat bermasalah kewangan itu berada di bawah kategori PN17.

Perolehan merosot 27.1 peratus kepada RM3.51 bilion daripada RM4.82 bilion berikutan terdapat permintaan yang lebih rendah daripada kerajaan untuk pembelian vaksin Covid-19.

“Bagaimanapun, kumpulan telah mencapai pertumbuhan menggalakkan dalam perniagaan konsesi apabila produk tambahan telah ditambah ke dalam senarai konsesi yang berkuat kuasa mulai separuh kedua 2021.

“Selain itu, terdapat juga sumbangan yang lebih baik daripada sektor swasta sebanyak kira-kira 50 peratus hasil daripada usaha jualan agresif yang ditambah dengan produk baharu yang dilancarkan ke pasaran sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Syarikat farmaseutikal itu ketika bercakap mengenai prospek pasaran tempatan memberitahu kerajaan telah melanjutkan tarikh rundingan perjanjian konsesi kumpulan kepada Jun 2023.

Perniagaannya tetap beroperasi seperti biasa semasa peringkat akhir rundingan.

Syarikat itu juga mencatatkan pertumbuhan 50 peratus dari tahun ke tahun yang menggalakkan dalam pasaran swasta dan menyasarkan untuk mengekalkan pertumbuhan pada 2023.

Dalam kenyataan berasingan, disebabkan rawatan perakaunan itu yang selaras dengan keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia dan amalan tadbir urus baik Pharmaniaga, kumpulan itu perlu menyediakan sejumlah RM552.3 juta bagi stok vaksin.

Katanya, peruntukan yang tidak dapat dielakkan itu telah mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) untuk Pharmaniaga.

“Pharmaniaga mengalami cabaran tahun kewangan 2022 disebabkan penyediaan stok vaksin Covid-19 yang bergerak perlahan dengan jangka hayat tertentu dalam inventorinya.

“Ini mengakibatkan kerugian sebelum cukai dan zakat serta kerugian selepas cukai dan zakat masing-masing sebanyak RM580.8 juta dan RM605 juta,” katanya.

Mengulas perkara itu, kumpulan kni sedang berbincang dengan pelbagai pihak, baik tempatan mahupun luar negara untuk membeli vaksin dan optimis dengan hasil yang baik daripada rundingan berkenaan.

“Tanpa mengambil kira isu tersebut, syarikat memberi jaminan kepada semua pihak bahawa ia komited untuk melaksanakan pelan regularisasi mengikut keperluan Bursa Malaysia dalam masa yang ditetapkan.

“Pelan itu akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan kedudukan kewangan serta jaminan bahawa aktiviti perniagaan syarikat akan kekal berdaya maju dengan prospek pertumbuhan,” katanya.

Syarikat itu berkata aktiviti operasi bagi kedua-dua perniagaan konsesi dengan Kementerian Kesihatan dan perniagaan bukan konsesi dengan sektor swasta tidak akan terganggu, malah terus utuh.

“Kumpulan komited untuk memberi perkhidmatan kepada semua obligasi kewangan kepada pemberi pinjaman dan institusi kewangan lain, serta merangka pelan aliran tunai yang optimum,” katanya.

  • Turut baca : Pembunuh kejam : Kepala Abby Choi ditemui dalam periuk sup

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*