Kejam! Sembelih suami kekasih selepas hubungan sulit dengan isterinya terbongkar

Gara-gara terbongkar hubungan sulit dengan isteri rakan, seorang lelaki warga asing tekad membunuh rakannya dengan mengelar leher sebelum bertindak menanam mangsa di lereng bukit di belakang sebuah pusat jagaan orang tua, Subang Jaya, Mei tahun lalu.

Seorang lelaki yang juga rakan kepada suspek membuat laporan tersebut di sebuah balai polis kawasan Ampang selepas mendengar pengakuan rakannya itu membunuh seorang lelaki, sekitar pukul 2.30 petang, kelmarin.

Rentetan kejadian itu, empat wanita dan seorang lelaki berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun ditahan kerana terbabit dengan kes tersebut di sekitar daerah ini, pada kelmarin dan semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 25 tahun itu dibunuh dengan dikelar pada leher oleh suspek menggunakan pisau, bagaimanapun pisau masih belum dijumpai.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, ekoran daripada pengakuan tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Domestik (BSJD) Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang Jaya menjalankan soal siasat terhadap suspek sebelum bergerak ke lokasi kejadian bunuh dan tempat mangsa ditanam.

“Kejadian tersebut berlaku di sebuah rumah banglo yang dijadikan pusat jagaan orang tua yang terletak di kawasan Subang Jaya.

“Pihak kami bersama pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor telah menjumpai bungkusan plastik yang dipercayai digunakan untuk membalut tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Wan Azlan, motif pembunuhan disebabkan mangsa mengetahui hubungan sulitnya dengan isteri mangsa.

Jelasnya, hubungan mangsa dan suspek adalah rakan sekerja di rumah kebajikan orang tua tersebut termasuk juga isteri mangsa yang bekerja di situ.

“Sehubungan itu, tangkapan pertama dibuat pada kelmarin melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita warga India di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sementara itu, tiga lagi wanita yang ditangkap semalam akan ditahan reman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan,” katanya.

Tambah Wan Azlan, mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*