Beku akaun : UMNO pernah hadapi nasib sama, tiada sebab BERSATU diberi ‘keistimewaan’

Tindakan SPRM membekukan akaun bank pihak yang sedang disiasat adalah perkara biasa dan tiada sebab untuk Bersatu diberi “keistimewaan” untuk dikecualikan daripada perkara itu, kata seorang ahli parlimen DAP.

Ahli Parlimen Kampar Chong Zemim berkata selain Bersatu, SPRM juga perlu menyiasat parti komponen lain dalam PN – iaitu PAS dan Gerakan – atas perbelanjaan yang besar dalam kempen PRU15.

“Prosedur operasi standard SPRM adalah untuk membekukan akaun bank semasa siasatan berhubung dakwaan korupsi.

“Ketika Umno disiasat semasa skandal 1MDB, akaun bank parti itu juga dibekukan. Mengapa Bersatu, yang kini sedang disiasat, meminta keistimewaan agar pembekuan akaun mereka dibatalkan?” soal Chong, yang juga setiausaha publisiti DAP Perak dalam kenyataan hari ini.

Dia merujuk kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa parti itu akan menulis surat kepada SPRM memohon agar akaun partinya tidak dibekukan.

Dia berkata pihaknya menghadapi kesukaran untuk membayar gaji kakitangan dan sewa pejabat.

Awal minggu ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata suruhanjaya itu telah membekukan dua akaun bank Bersatu bagi membantu siasatan berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan.

Difahamkan pembekuan itu bagi menyiasat dakwaan Bersatu menerima sumbangan lebih RM300 juta daripada kontraktor yang mendapat pelbagai projek semasa parti itu menjadi kerajaan.

Chong berkata tindakan membekukan akaun ketika siasatan adalah untuk memastikan wang di dalamnya tidak digunakan atau dipindahkan ke mana-mana pihak lain jika siasatan mengesahkan ia diperolehi secara salah.

Mengulas lanjut, dia berkata bilangan bendera, poster dan papan iklan PN di seluruh negara semasa kempen pilihan raya lalu adalah “luar biasa”, dan jauh melebihi bahan kempen PH dan BN.

“Di manakah PN menerima jumlah wang yang begitu besar untuk digunakan dalam kempen pilihan raya?

“Mengikut Perkara 19(1)(a) Akta Pilihan Raya 1954, perbelanjaan calon bagi setiap kerusi parlimen tidak boleh melebihi RM200,000, dan bagi kerusi DUN, ambangnya ialah RM100,000.

“Saya menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya untuk turut menyiasat sama ada perbelanjaan calon PN dalam pilihan raya umum telah melebihi had undang-undang,” katanya lagi.

Umno pernah hadapi nasib sama

Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Shabery Cheek berkata nasib sama yang berlaku kepada Umno dan kakitangan pejabat parti itu semasa pentadbiran PH yang pertama sebelum ini, ketika Bersatu masih bersama gabungan itu.

“Turut bersimpati dengan nasib kakitangan yang ditimpa musibah akibat pembekuan akaun. Inilah juga nasib yang menimpa presiden Umno ketika pemimpin Bersatu menerajui kerajaan 22 bulan dulu.

“Ramai kakitangan pejabat Umno diberhentikan. Sehingga sekarang ramai yang hanya menerima separuh dari gaji biasa mereka,” katanya dalam satu hantaran di media sosial semalam.

Walaupun begitu, dia berharap agar Muhyiddin bersabar dan tabah menghadapi ujian tersebut.

“Sudah tentu sebagai presiden parti, dia terpaksa menanggung beban yang dihadapi oleh semua anak buahnya. Sukar dan susah,” katanya lagi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*