Keabsahan Anwar : Takiyuddin sahkan Perikatan Nasional tidak ‘puas hati’

Keabsahan Anwar : Takiyuddin sahkan Perikatan Nasional tidak ‘puas hati’. Perikatan Nasional (PN) tidak ‘puas hati’ memandangkan undian percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya menggunakan undian suara berbanding undian secara fizikal.

Menurut Ketua Whip, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, walaupun undian itu lulus kerana blok pembangkang bersikap kecuali namun jumlah yang menyokong Perdana Menteri kekal tidak diketahui.

“Kita baru lepas satu usul yang dibawa oleh kerajaan yang dipanggil usul percaya. Dalam hal ini, Dewan telah buat satu keputusan bahawa usul ini diluluskan dan kita semua dengar ia diluluskan dengan undian suara.

“Ia berlaku tanpa undian sebenar daripada ahli-ahli Parlimen. Apa yang dibincangkan oleh kami di pihak pembangkang adalah motif usul itu dibawa. Pada pandangan kami, sepatutnya usul ini tidak perlu lagi dibawa kerana Yang di-Pertuan Agong telahpun melantik Perdana Menteri di bawah Perkara 43 (2) di dalam perlembagaan.

“Ini yang berlaku di Dewan hari ini, didapati sokongan terhadap Perdana Menteri daripada keseluruhan 222 ahli Parlimen tidak diketahui,” katanya di Bilik Media, Bangunan Parlimen.

24 November lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Anwar mengemukakan bukti di Parlimen menerusi akuan bersumpah (SD) bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat seperti yang diminta oleh speaker Dewan Rakyat.

Katanya, ia adalah bagi menoktahkan sebarang keraguan terhadap keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri. Akur pada permintaan itu, Anwar menjanjikan untuk laksana usul undi percaya kepada dirinya pada hari pertama Mesyuarat Penggal Pertama Majlis Parlimen ke-15.

Bagaimanapun, Takiyuddin berkata, Anwar tidak perlu lagi membuktikan keabsahan pimpinan beliau kerana beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Perdana Menteri selepas dilantik, beliau telah membentuk kerajaan. Jadi apa keperluan ini kepada Perdana Menteri melainkan hasrat beliau untuk membuktikan berapa sokongan kepada beliau seperti majoriti mudah atau dua pertiga Parlimen.

“Isu yang juga dibawakan oleh kami adalah satu memorandum yang dilihat bercanggah dengan perlembagaan dari segi rohnya. Contohnya Perkara 63 iaitu seorang ahli Parlimen mempunyai hak ekslusifnya untuk menentukan keputusan dalam apa-apa sahaja di dalam Dewan Rakyat tidak boleh dianggap satu kesalahan dan tidak boleh didakwa.

“Ada di dalam memorandum ini, mana-mana ahli Parlimen daripada parti yang menandatangani memorandum ini yang bertindak tidak menyokong Perdana Menteri akan dianggap terlucut jawatannya. Saya tanya, ada atau tidak dalam Perkara 49 (a) kepada Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi namun tidak dijawab,” ujarnya.

Keabsahan Anwar : Takiyuddin sahkan Perikatan Nasional tidak 'puas hati'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*