Anak derhaka! Tampar muka ibu kandung, ugut toreh muka adik

Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menampar muka ibu kandung berkali-kali, mencederakan anak saudara dan mengugut menoreh muka adik perempuannya.

Tertuduh, Mohmad Saufian Abu Noor, 41, yang juga seorang penganggur membuat pengakuan itu sebaik sahaja tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibu kandungnya berusia 69 tahun dengan cara menampar muka mangsa berkali-kali menggunakan tangan.

Untuk pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya berumur 10 tahun dengan cara menampar pipi serta menarik rambut mangsa juga menggunakan tangan.

Perbuatan itu dilakukan antara pukul 10.30 pagi sehingga pukul 12 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Tengah, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah pada 15 Disember 2022.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya dengan menakutkan untuk menoreh muka adik perempuan berusia 32 tahun pada waktu, tempat dan tarikh sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tertuduh mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan telah dijatuhi hukuman.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan baru dibebaskan dari penjara Mei lalu, atas kesalahan mencuri kenderaan mewah.

Mahkamah bersetuju dengan permohonan dikemukakan pendakwaan dan menetapkan 2 Februari 2023 untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*