Fitnah bayaran RM15 juta, Anwar heret Muhyiddin ke mahkamah

Fitnah bayaran RM15 juta, Anwar heret Muhyiddin ke mahkamah. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyaman Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berhubung dakwaannya bahawa Anwar menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor semasa berkhidmat sebagai penasihat ekonominya.

Saman fitnah difailkan oleh peguam cara SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak perdana menteri itu menuntut ganti rugi am, pampasan, teruk dan teladan daripada Muhyiddin, yang dinamakan sebagai defendan.

Anwar juga memohon injunksi untuk menghalang pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada terus menyebut, menulis, menerbitkan, atau mengedarkan kata-kata fitnah yang disangkal, atau kata-kata yang mempunyai kesan sama atau serupa.

Pada 7 Dis, Anwar mengeluarkan surat tuntutan kepada Muhyiddin berhubung perkara itu tetapi tidak mendapat maklum balas, membawa kepada pemfailan saman itu.

Anwar menuntut agar permohonan maaf tanpa syarat disiarkan dalam akhbar dan media pilihannya. Beliau juga meminta pampasan atas “kerosakan serius” terhadap reputasinya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata kenyataan Muhyiddin itu dibuat pada 5 Dis dalam kempen bagi calon PN Azman Nasrudin di Taman Selasih, Kulim, menjelang pilihan raya Parlimen Padang Serai.

Kenyataan Muhyiddin disebarkan di TikTok dan mendapat kira-kira 1.1 juta tontonan, dikongsi 2,169 kali, mendapat 21,400 “like” serta 6,061 komen, menurut pemfailan mahkamah tersebut.

Anwar mendakwa keseluruhan ucapan Muhyiddin pada ceramah itu kemudian disiarkan di Facebook pada 8 Dis walaupun surat tuntutan telah dihantar kepada peguamnya sehari sebelumnya.

Beliau berkata, kenyataan Muhyiddin antara lainnya menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak jujur.

Ia turut memberikan gambaran palsu bahawa beliau seorang pendosa, pembohong, tamak, dan munafik.

Kerajaan Selangor menafikan dakwaan Muhyiddin bahawa Anwar dibayar RM15 juta.

Juwairiya Zulkifli, setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, berkata Anwar hanya dibayar nilai token RM1 setahun untuk perkhidmatannya.

Maklumat itu telah direkodkan secara rasmi dalam Hansard DUN, katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*