JHEAIPP sahkan kedai jual nasi ayam, itik Sungai Ara tak ada sijil halal

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengesahkan kedai menjual nasi ayam dan itik di Sungai Ara tidak mempunyai sijil halal, susulan tular dua lelaki Melayu mengambil bekalan makanan itu daripada restoran bukan Islam.

Pemangku Pengarah JHEAIPP, Mohd Hanif Omar@Wahab, berkata siasatan mendapati pemilik kedai tersebut yang juga seorang Muslim turut mempunyai restoran nasi ayam dan itik di sebuah kompleks beli-belah, di George Town.

Bagaimanapun katanya, untuk premis di kompleks beli-belah, ia milik bersama antara lelaki Muslim tersebut bersama seorang pemilik bukan Islam.

Menurutnya, pemeriksaan pada premis di pusat beli-belah itu juga didapati tidak mempunyai sijil halal.

“Siasatan dijalankan pada hari ini bermula jam 10.45 pagi hingga 3 petang di dua lokasi iaitu sebuah medan selera di kompleks beli-belah dan sebuah kedai nasi ayam dan itik di Paya Terubong.

“Ia melibatkan JHEAIPP dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang,” lapor Sinar Harian.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati nasi ayam dan itik yang dimasak di premis di kompleks beli-belah tersebut turut dibawa untuk dijual di kedai di Sungai Ara.

“Siasatan oleh JHEAIPP mendapati, kedai nasi ayam dan itik di Sungai Ara tidak dibuka. Selain kedai itu, kita turut menjalankan siasatan di sebuah restoran menjual nasi ayam dan itik di Paya Terubong.

“Premis itu menyediakan makanan nasi ayam, itik dan juga daging khinzir,” katanya.

Hanif ketika mengulas lanjut, berkata pemilik kedai tersebut mengaku hanya menghantar makanan yang tidak habis dijual ke restoran di Paya Terubong untuk diberi kepada anjing, selain membasuh bekas-bekas dan peralatan makanan di situ.

“Kita menasihati pemilik kedai tersebut memohon SPHM daripada JHEAIPP,” katanya.

Sejak semalam, tular video berdurasi dua minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Rakaman video itu telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengguna Muslim kerana merasakan peniaga tersebut telah menipu pelanggannya dengan mendapatkan bekalan daripada sumber tidak halal.

Menurut Bernama, awal hari ini, Timbalan Ketua Menteri I Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, berkata dakwaan itu serius dan siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh kerana melibatkan sensitiviti orang Islam.

“Saya sudah mengarahkan beberapa agensi termasuk JHEAIPP menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu kerana melibatkan sensitiviti orang Islam dan mereka sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh”.

Turut baca

JHEAIPP sahkan kedai jual nasi ayam, itik Sungai Ara tak ada sijil halal

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*