Ingat! Boikot tak salah tapi cuba bakar KK Mart jenayah – Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan pihak yang menyeru boikot terhadap kedai serbaneka KK Mart supaya meredakan keadaan dan menghentikan hasutan yang membakar sentimen orang ramai.

Ini susulan serangan bom api kedua dan terbaru terhadap sebuah kedai KK Mart di Kuantan, Pahang (gambar bawah) pada awal pagi tadi.

“Menggesa dan mendorong orang ramai memboikot sesuatu jenama mungkin bukan satu kesalahan undang-undang tetapi adalah jelas menjadi suatu kesalahan apabila orang ramai bertindak menceroboh atau cuba membakar premis KK Mart.

“Perbuatan ini boleh mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. PDRM akan tetap mengambil tindakan berasaskan undang-undang demi kepentingan orang ramai.

“Saya mengajak mereka yang mendorong pemboikotan ini ikut mengambil tanggungjawab meredakan dan hentikan terus perbuatan membakar sentimen orang ramai,” katanya.

Susulan kontroversi stoking tertera kalimah Allah, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh paling lantang menyeru boikot terhadap KK Mart.

Walaupun ditegur oleh tiga menteri, Akmal berkeras meneruskan kempen memboikot KK Mart.

Akmal (gambar bawah) membayangkan kempen boikot yang digerakkannya itu akan menyebabkan KK Mart gulung tikar dan pemiliknya boleh mula memikirkan mencari “perniagaan lain.”

Selepas cubaan serangan dengan melemparkan bom api sebuah cawangan KK Mart di Bidor, Perak pada awal minggu ini, Akmal berkata tindakan melampau sebegitu tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, Akmal berkeras meneruskan kempen memboikot KK Mart walaupun telah ditegur oleh tiga menteri.

Sementara itu, Saifuddin berkata serangan baru-baru ini telah membuktikan kebimbangan kerajaan dalam menangani isu berkaitan kaum, agama dan raja-raja.

“Kejadian ini menjadi bahaya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan meniup sentimen agama, kaum dan kelompok untuk kepentingan tertentu.

“Terbukti kebimbangan kita dalam isu 3R selama ini adalah berasas dan munasabah sekalipun dipertikai oleh sesetengah pihak dan isu stoking ini menunjukkan begitu mudah emosi serta sentimen rakyat dimainkan oleh kalangan yang tidak bertanggungjawab,” kata menteri.

Selanjutnya, Saifuddin meminta orang ramai memberi ruang dan kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM untuk menjalankan tugas mengesan, menangkap dan menyiasat individu yang terlibat.

“Biar proses undang-undang berjalan demi keamanan, ketenteraman rakyat dan negara.

“Saya yakin rakyat terbanyak adalah kalangan yang cintakan keamanan.

“Hidup rukun damai dan saling hormat akan perbedaan sesama kita.

“Mari kita bersama-sama menolak dan mengutuk keras perbuatan keganasan seumpama ini,” katanya.

Awal hari ini, Ahli Parlimen PKR Hassan Abdul Karim menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Saifuddin untuk mengambil tindakan eksekutif segera bagi meredakan keadaan berhubung kontroversi stoking kalimah Allah.

Pada 26 Mac lalu, sebuah cawangan kedai serbaneka itu di Bidor, Perak (gambar atas) dibaling dengan bom petrol, kira-kira pukul lima pagi.

Bagaimanapun bom petrol itu jatuh di kawasan kosong di depan kedai itu dan tidak meletup.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*