Satu lagi serangan bom petrol di kedai KK Mart

Sebuah cawangan KK Mart di Kuantan, Pahang diserang bom petrol awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pengurus kedai serbaneka itu membuat laporan kira-kira 5.40 pagi mendakwa bahagian pintu masuk (karpet) KK Mart cawangan Sungai Isap terbakar akibat dibaling “molotov cocktail”.

Katanya, empat rak jualan, termasuk barang jualan mengalami kerosakan akibat terkena percikan api, dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM500.

“Ketika kejadian, seorang pekerja wanita berada di kaunter, manakala seorang pekerja lelaki sedang menyusun barang di rak belakang,” katanya.

“Kedai ini baru beroperasi kira-kira dua minggu dan pegawai penyiasat akan meneliti rakaman kamera litar tertutup bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai suspek dan kronologi kejadian.”

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Indera Mahkota bersama enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada 5.40 pagi.

Komander operasi pula melaporkan anggaran peratusan kebakaran 1% tanpa melibatkan struktur bangunan atau mangsa.

Selasa lalu, satu objek dipercayai bom petrol dilaporkan dibaling di bahagian depan sebuah cawangan KK Mart di Bidor, Perak kira-kira 5 pagi, tetapi ia tidak meletup.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menggesa perdana menteri dan menteri dalam negeri mengambil tindakan eksekutif segera bagi mengelakkan perpecahan kaum.

“Yang di-Pertuan Agong telah bersuara. Sultan Perak telah bersuara. Ketua polis negara juga telah bersuara. Mereka semua memberikan nasihat dan panduan supaya ancaman ketegangan kaum serta agama diredakan,” katanya dalam kenyataan.

KK Mart diselubungi kontroversi selepas beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah yang dijual di KK Mart Bandar Sunway tersebar di media sosial, sekali gus mencetuskan kemarahan umat Islam dan desakan boikot oleh Pemuda Umno.

Selasa lalu, pengasas KK Mart dan isterinya, serta tiga pengarah syarikat mengedar stoking itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam secara berasingan atas pertuduhan melukakan perasaan agama orang lain dengan menjual stoking tertera kalimah Allah.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*