Ibu reda anak maut dilanggar bas, pemandu tampil mohon maaf

Ibu reda anak maut dilanggar bas, pemandu tampil mohon maaf.

“Pemandu bas ada hubungi, minta maaf dengan saya. Saya pun tidak salahkan dia kerana dia juga sangat trauma,” kata Zainab Mohideen Abdul Kadar, 37, ibu kanak-kanak berusia setahun lima bulan yang maut dilanggar bas sekolah di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi di sini semalam.

Berita berkaitan : Sedih !!! Bayi 16 bulan maut dilanggar bas sekolah

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan kejadian menimpa Zahida Mohamad Kassim yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik itu.

Ibu reda anak maut dilanggar bas, pemandu tampil mohon maaf
Nurul Aishah menunjukkan gambar mangsa ketika ditemui di rumahnya di Taman Anggerik, Bandar Baru Salak Tinggi.

“Pemandu bas pun susah, basnya disita dan dia di balai. Dia ada telefon saya daripada semalam dan tadi pun ada hubungi tanya sudah selamat dikebumikan atau belum anak saya.

“Saya tidak simpan dendam pun kepada pemandu malah dengan rela hati saya beritahu polis yang mengambil keterangan, saya tak mahu pemandu bas tersebut diapa-apakan,” katanya.

Turut baca

Zainab yang bekerja sebagai pembantu kantin berkata, dia sudah lama menggunakan khidmat pemandu bas tersebut untuk mengambil anaknya yang lain pergi dan balik dari sekolah.

“Sewaktu kejadian berlaku, saya dan suami tiada di rumah kerana bekerja. Pemandu bas juga ada meminta maaf kepada ibu mentua saya dan dia kata tidak melihat anak kami (mangsa),” katanya.

Sementara itu, kakak mangsa, Nurul Aishah Mohamad Kassim, 13, berkata, ketika kejadian dia sangat terkejut apabila tiba-tiba terlihat adiknya berada di bawah bas dan terus menarik mangsa keluar sebelum digilis oleh tayar belakang bas.

Menurut anak ketiga daripada tujuh beradik itu, pada mulanya dia naik ke tangga bas untuk memberikan wang belanja sekolah kepada adiknya yang lain berusia lapan tahun.

“Selepas beri duit pada adik, saya turun dan bas bergerak. Kemudian, saya nampak Zahida berada di bawah bas dan menjerit. Saya ambil adik dan terus membawanya masuk ke dalam rumah.

“Pemandu bas itu juga meminta maaf kepada nenek dan beritahu dia tidak nampak adik dan tidak sengaja. Bagaimanapun, nenek memintanya menghantar murid lain yang berada di dalam bas ke sekolah,” katanya.

Nurul Aishah berkata, kemudian jiran di sekeliling rumahnya turut datang ke situ selepas terdengar suaranya menjerit dan membantu mereka membawa mangsa ke klinik dengan menaiki kereta.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya kini sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.

Ujarnya lagi, pemandu bas tersebut telah ditahan semalam serta selesai memberi keterangan kepada pihak polis serta dibebaskan dengan jaminan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*