Mayat ditemukan terapung dalam guni, kaki dan tangan diikat

Mayat ditemukan terapung dalam guni, kaki dan tangan diikat.

Mayat seorang lelaki dalam keadaan tangan serta kaki diikat manakala sebahagian badan diserkup guni, ditemui terapung di Sungai Semeling, Kampung Sungai Batu Besi, Sungai Petani,semalam.

Mayat yang masih belum dikenal pasti identiti itu ditemui oleh dua lelaki yang sedang memukat ikan di kawasan berhampiran pada 9.30 pagi sebelum menghubungi polis dan memaklumkan kejadian.

Difahamkan, dua lelaki terbabit sebelum itu terhidu bau busuk dan terkejut apabila melihat mayat dalam keadaan terlentang serta terapung dan dihanyutkan arus berada di sebelah bot mereka.

Turut baca

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, G Suresh Kumar berkata, pemeriksaan mendapati mayat sudah mengelupas kulit dengan kaki serta dua tangan tangan diikat menggunakan tali biru.

“Berdasarkan keadaan mayat, kita percaya mangsa dibunuh serta sudah meninggal dunia sejak tiga hari lalu.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan mangsa dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dimasukkan dalam guni dan dicampak ke dalam sungai ini,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Menurutnya, setakat ini polis tidak menemui kesan kecederaan di tubuh mangsa kemungkinan kerana keadaan mayat yang mengelupas kulit akibat terendam terlalu lama.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mayat lelaki terbabit ditemui hanya berbaju T merah tanpa berseluar selain cincin perak di jari telunjuk dan jari manis tangan kiri.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan yang mempunyai ciri-ciri seperti dinyatakan boleh menghubungi balai polis berhampiran atau tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk maklumat lanjut.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*