Guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana RM231,340, pemilik syarikat diheret ke mahkamah

Guna dokumen palsu tuntut insentif Penjana RM231,340, pemilik syarikat diheret ke mahkamah.

Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas enam pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dua tahun lalu.

Dokumen tersebut adalah bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 melibatkan nilai keseluruhan RM231,340.

Tertuduh, Mohd. Yuzri Azhan Md. Yusoff, 38, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, pemilik syarikat Azhken Smart Global itu didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja yang mengandungi butir matan palsu kepada pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso Kedah.

Butir matan palsu itu melibatkan seramai 16 pekerja yang dinamakan di dalam borang tersebut, sedangkan mereka bukan pekerja Azhken Smart Global.

Kesalahan bagi semua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perkeso, di sini antara 4 Mei 2021 hingga 21 Ogos 2021.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada empat anak itu boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan minimum lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu jika butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pada prosiding sama, dia turut membuat pengakuan sama bagi pertuduhan pilihan yang ditawarkan bagi setiap pertuduhan berkenaan iaitu menggunakan borang itu sebagai tulen di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan di bawah pertuduhan pilihan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Salizawaty Abd. Samad manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Aida Md. Zainuddin.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 untuk semua pertuduhan dan diarah untuk melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebulan sekali. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November ini.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*