GEMPAR | Ini terjadi jika perang nuklear Russia-AS berlaku

Pelepasan jelaga ke stratosfera daripada ribut api yang terhasil akibat perang nuklear antara Amerika Syarikat (AS) dan Russia akan menghalang cahaya matahari dan mengakibatkan lebih 5 bilion penduduk dunia mati kelaparan, demikian menurut satu kajian baharu seperti yang dilaporkan agensi berita United Press International (UPI).

Pasukan penyelidik Universiti Rutgers menerbitkan kajian mereka dalam jurnal Nature Food kelmarin. Penyelidikan berkenaan membentangkan senario yang mungkin berlaku sekiranya AS dan Russia terlibat dalam perang nuklear berskala penuh selama seminggu.

“Perang antara AS, sekutunya dan Russia yang mana kesemua pihak memiliki lebih 90 peratus senjata nuklear global, boleh menghasilkan lebih 150 teragram jelaga dan musim sejuk nuklear,” demikian menurut kajian itu.

Teragram ialah unit ukuran bersamaan dengan 1 trilion gram, manakala model kajian menunjukkan pelepasan jelaga ke atmosfera yang jumlahnya lebih besar daripada 5 teragram, akan mengakibatkan kekurangan makanan secara besar-besaran di hampir semua negara.

“Jelaga akan tersebar secara global dan menutupi bahagian atas atmosfera Bumi. Justeru, keputusan kajian kami adalah relevan tanpa mengira negara mana yang berperang,” kata kajian sama.

Dalam senario perang antara AS dan Russia, purata pengeluaran kalori global daripada tanaman akan berkurangan sekitar 90 peratus dalam tempoh empat tahun selepas perang berlaku. Selain itu, perang nuklear juga akan mengurangkan bekalan ikan global.

Penduduk di kebanyakan negara akan mengambil kalori kurang daripada yang dibakar oleh badan. Ini akan mengakibatkan lebih 5 bilion orang mati menjelang akhir tahun kedua.

Kajian itu mengandaikan bahawa perdagangan antarabangsa selepas perang nuklear akan terhenti dengan negara-negara di Benua Afrika dan rantau Asia Barat “terjejas teruk” akibat penurunan dalam eksport makanan dunia.

“Ketiadaan cahaya matahari, penyejukan global dan kemungkinan sekatan perdagangan selepas perang nuklear merupakan malapetaka global,” kata kajian itu.

Kajian sama juga mewujudkan model untuk jumlah abu nuklear yang lebih kecil dalam senario seperti perang nuklear antara India dan Pakistan, di mana 2 bilion orang berisiko mati kelaparan.

Hasil kajian itu disiarkan di tengah-tengah perang Russia-Ukraine yang mencetuskan kebimbangan antarabangsa mengenai potensi berlakunya perang nuklear dan bencana radiasi menimpa loji janakuasa nuklear Zaporizhzhia. Loji di Ukraine itu adalah janakuasa nuklear terbesar di Eropah.

Turut baca

GEMPAR | Ini terjadi jika perang nuklear Russia-AS berlaku

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*