Fitnah hutang peneroka Felda : Anwar tuntut Mahiaddin bayar RM200 juta, mohon maaf

Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui peguamnya telah menjawab surat peguam dari Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang mendakwa beliau (Anwar) menipu dalam isu hutang Felda dengan menuntut Mahiaddin memohon maaf dan membayar pampasan RM200 juta.

Anwar juga menuntut Mahiaddin menarik balik surat tuntutannya dan membayar segala kos guaman ekoran perkara ini dan ia hendaklah diselesaikan dalam tempoh 24 jam.

Surat jawapan balas kepada “Letter of Demand” yang dihantar oleh Mahiaddin itu diserahkan kepada Peguam Mahiaddin, Rosli Dahlan Saravana Partnership jam 4.45 petang tadi, kata Sankara Nair, peguam Anwar.

Surat 10 muka surat bertajuk “Pelupusan hutang Peneroka Felda: Kenyataan fitnah oleh Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim terhadap Tan Sri Mahiaddin @Muhyiddin Md Yasin” itu dihantar oleh S N Nair & Partners.

Menurut surat itu, tuntutan Mahiaddin telah dijawab oleh Anwar dalam tempoh 24 jam sebagaimana yang dituntut. Ia telah dibuat melalui satu jawapan menerusi Facebook.

“Harus ditegaskan anakguam kami telahpun memberikan maklumbalas kepada anakguam kamu dalam tempoh masa yang telah diberikan dengan membuat satu hantaran posting di facebook kenyataan media bertarikh 20.07.2013 penuh dengan bukti yang tidak dapat dipertikaikan, tentang pengataan anakguam kami terhadap anakguam kamu di mana bukti-bukti tersebut adalah berbicara sendiri dan dalam pengetahuan penuh anakguam kamu.

“Ia adalah tidak relevan di sisi undang-undang dan prosedur samada maklum balas tersebut telah dibuat oleh anakguam kami melalui hantaranposting di facebook beliau atau melalui kami,” kata Sankara menerusi surat itu.

Mahiaddin telah menghantar surat tuntutan kepada Anwar ekoran isu hutang peneroka Felda berikutan dakwaan Anwar bahawa Mahiaddin tidak menyelesaikan pelupusan hutang peneroka dengan tuntas.

Ekoran itu, Anwar telah memberikan bukti-bukti terhadap dakwaan beliau itu bahawa dia yang menyelesaikan isu hutang peneroka Felda itu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*