Bau busuk pada but kereta ditinggalkan di tepi jalan membongkar penemuan mayat

Bau busuk pada but sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan membongkar penemuan mayat seorang kontraktor binaan hampir reput dalam kejadian di Taman Sri Orkid Seksyen 30, di sini semalam.

Mayat lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun itu dijumpai kira-kira pukul 3.25 petang selepas menerima panggilan daripada orang awam yang melalui lokasi tersebut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay anak Embol berkata, pemeriksaan mendapati mayat tersebut telah dibungkus dengan plastik hitam sebelum diletakkan pada kereta jenis Honda City berwarna hitam yang didaftarkan atas nama mangsa.

Katanya, kenderaan tersebut pula dipercayai telah berada kira-kira dua atau tiga hari di lokasi berkenaan.

“Mayat mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

“Susulan itu, polis kemudiannya menahan empat suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia 40-an kira-kira pukul 7 petang hari sama berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati motif pembunuhan disyaki cemburu namun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihaknya.

“Kesemua suspek kini direman bermula hari ini sehingga 10 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*