Anwar sifatkan tuduhan terhadapnya satu ‘konspirasi politik terancang’

Anwar Ibrahim mendakwa semua tuduhan jenayah terhadapnya sebelum ini sebahagian daripada satu konspirasi politik terancang.

Perdana menteri menyifatkannya sebagai dendam keji bagi menyingkirkannya daripada memegang jawatan awam dan merosakkan kerjaya politiknya secara kekal.

“Bukti akan dikemukakan untuk menyokong penegasan tidak berdosa plaintif pada semua masa yang material,” menurut pernyataan tuntutan pindaan difailkan presiden PKR itu pada Isnin.

Dokumen pindaan itu diserahkan petang ini kepada Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid, peguam cara yang mewakili Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor yang menghadapi saman fitnah oleh Anwar kerana kenyataan yang didakwa menggambarkannya “berperwatakan tidak bermoral”.

Anwar yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) dilantik perdana menteri pada 24 Nov dan membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar berkata, beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum 2 Sept 1998 dan mempunyai rekod prestasi sempurna.

Beliau memegang jawatan itu ketika tempoh Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.

Menurut pernyataan tuntutan itu, Anwar telah disingkirkan secara tidak tertib dan teruk daripada jawatan awam pada September 1998.

“Selepas itu, dengan motif luar biasa yang dikira untuk merosakkan reputasi dan imej plaintif ke tahap tidak boleh diperbaiki, plaintif telah didakwa dan dipertuduhkan dengan beberapa kesalahan jenayah rekaan, telah dibicarakan beberapa kali dan didapati bersalah atas semua kesalahan yang didakwa serta dijatuhkan hukuman penjara sebanyak dua kali,” menurut pernyataan tuntutan itu.

Tambahnya, sepanjang masa itu sehingga kini beliau “bersungguh-sungguh, tanpa henti dan tidak berbelah bahagi mengekalkan pendirian tidak bersalah,” dan bertegas semua tuduhan jenayah terhadapnya adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang.

Menurut pernyataan tuntutan itu, disebabkan inilah Yang di-Pertuan Agong (Sultan Muhammad V) mengampuninya pada 16 Mei 2018 bagi memulihkan imej dan reputasi Anwar.

Menurutnya, titah bagi memerintahkan Pengampunan Diraja adalah untuk memadamkan sepenuhnya dan secara muktamad “semua atau mana-mana keburukan terhadap plaintif berkenaan ketiga-tiga kesalahan jenayah yang disabitkan”.

Susulan itu, katanya, defendan telah secara melulu, dan tanpa mengambil kira kesan serta akibat pengampunan itu mengenakan, mengulangi dan menghidupkan semula noda dan kepedihan daripada fitnah terhadap plaintif itu.

“Oleh itu, plaintif berhak untuk memulakan tindakan ini dan untuk membicarakan perkara yang sama dengan sekuat tenaga, untuk mengelakkan pengulangan perkara yang sama pada masa hadapan, oleh orang lain yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Dalam saman difailkan Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 13 Dis, Anwar memohon ganti rugi daripada Sanusi kerana didakwa merosakkan reputasinya.

Sanusi dikatakan membuat kenyataan itu dalam ucapan menjelang pilihan raya umum. Video ucapan itu turut dimuat naik ke Facebook.

Anwar berkata, Agong telah memberikannya pengampunan penuh bagi tuduhan jenayah terhadapnya iaitu satu tuduhan salah guna kuasa dan dua liwat, atas dasar salah laku keadilan.

Katanya, pengampunan turut diberikan atas dasar wujud konspirasi untuk memusnahkan nama baiknya.

Anwar sifatkan tuduhan terhadapnya satu 'konspirasi politik terancang'

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*