Pensyarah UiTM didakwa lakukan gangguan seksual ditamatkan perkhidmatan serta merta

Pensyarah UiTM didakwa lakukan gangguan seksual ditamatkan perkhidmatan serta merta. Pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah seperti yang tular di media sosial tahun lalu ditamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta merta.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi universiti itu.

“UiTM mengambil serius mengenai dakwaan gangguan seksual seorang pensyarah pada seorang bekas siswazah.

“Pihak universiti sudah melakukan siasatan mengikut garis panduan serta proses perundangan yang termaktub dalam Akta Badan-Badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 [Akta 605] yang tindakan tatatertib boleh diambil ke atas staf yang melanggar peraturan, tata kelakuan serta larangan-larangan yang terdapat dalam Akta 605 dan Peraturan UiTM,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, siasatan teliti dijalankan Unit Integriti UiTM bermula tahun 2021 terhadap segala bahan bukti yang dikumpulkan sebelum sebarang kesalahan dapat dibuktikan dan jenis hukuman ditentukan.

“Selepas prosedur soal siasat dan siasatan dalaman selesai, serta diputuskan di Jawatankuasa Tatatertib Peringkat Tertinggi, pihak UiTM mengambil tindakan menamatkan perkhidmatan berkuat kuasa serta merta terhadap pensyarah yang didakwa melakukan gangguan seksual pada bekas siswazah itu,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata warga universiti sentiasa diberi peringatan secara berkala perihal Akta 605.

Katanya, sekiranya warga universiti ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan dengan munasabah sebagai ingkar perintah, pihak universiti tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan keras sekiranya disabit kesalahan.

Turut baca :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*