Ejen kosmetik diselamatkan polis di Thailand

Ejen kosmetik diselamatkan polis di Thailand. Ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, Kelantan, pada 13 September lalu, berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, wanita terbabit diselamatkan di Thailand dan sudah dibawa pulang ke Malaysia, hari semalam.

“Melalui siasatan dan kerjasama erat antara PDRM bersama Polis Thailand dan perkongsian maklumat serta perisikan berjaya menjejaki lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa negara berkenaan dan dibawa pulang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, seramai tujuh lelaki warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, selain turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk menculik mangsa.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.

Acryl berkata, PDRM menzahirkan penghargaan kepada Polis Thailand dan Kedutaan Malaysia di negara itu atas kerjasama serta bantuan dalam usaha dilaksanakan bagi menyelamatkan mangsa culik.

Beliau juga menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang kejadian yang menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Dalam kejadian jam 5.10 petang pada 13 September lalu, mangsa berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan .

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Penculikan mangsa dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah dan susulan itu, polis menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan.

Turut baca :

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*