Harga petrol, diesel ‘naik’: Laporan media asing ‘tak betul’ – Fahmi

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini berkata kabinet belum berbincang mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel.

Justeru, jurucakap kerajaan itu menyangkal laporan media luar yang mendakwa kononnya kerajaan telah membuat keputusan untuk mengumumkan kenaikan harga bahan bakar itu.

Fahmi berkata mesyuarat jemaah menteri belum membincangkan perkara itu termasuk pada minggu lalu.

“Saya meneliti perkara itu dan saya boleh sahkan di sini saya ahli jemaah menteri, kami belum bincang perkara ini pun.

“Jadi, don’t put the cart before the horse atau jangan umum sesuatu perkara itu sebelum Kerajaan umumkan.

“Kita lihat ada beberapa akhbar yang berpangkalan di luar negara telah mendahului proses dan saya harap semua pihak termasuk media mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi,” katanya ketika berucap pada program Jiwa Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Al-Mashoor, George Town semalam.

Fahmi turut mengingatkan semua media agar tidak membuat laporan berita bersandarkan maklumat daripada sumber yang tidak dapat disahkan atau tidak dikenal pasti.

Kata Fahmi Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berada di Pulau Pinang pada April lalu dan bercakap tentang syarikat Digital Nasional Berhad (DNB).

“Seminggu sebelum itu, ada akhbar dari luar negara yang berkata pelaksanaan rangkaian 5G rosak, punah… seolah-olah semuanya telah diputuskan.

“Seminggu selepas itu, Gobind mengumumkan bahawa ahli lembaga pengarah dalam DNB ditambah dan proses itu sedang berjalan.

}Kedua, pasal isu lesen kasino (di Johor) kononnya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Justeru, Fahmi berharap Komuniti Madani dapat membantu menangani isu fitnah dan berita palsu secara lebih terancang.

Dia juga berharap media, Komuniti Madani dan kerajaan dapat bekerjasama untuk memastikan maklumat yang sampai kepada rakyat adalah sahih, tepat dan benar sementara menunggu Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia dibawa ke Parlimen.

Semalam, media asing melaporkan bahawa Malaysia akan mengurangkan subsidi bahan api menjelang Jun dan pembaharuan ekonomi utama itu akan menguji sokongan rakyat terhadap kerajaan ketika rakyat bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.

Media terbabit, yang memetik sumber rasmi dan industri, berkata harga diesel akan diapung pada kadar pasaran dalam tempoh beberapa minggu selepas Pilihan Raya Kecil Dewan Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini.

Ia akan disusuli dengan kenaikan berperingkat petrol dalam kadar runcit.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*