“Memang insiden itu berlaku di masjid ini beberapa hari lalu, namun saya harap orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri.
“Laporan polis sudah dibuat dan waris wanita itu juga sudah menghubungi saya, jadi semua tindakan kami serah kepada polis,” kata Pengerusi Kariah Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi, Ismail Din.
Ismail berkata demikian bagi mengulas mengenai beberapa video yang tular di laman sosial, memaparkan seorang wanita yang masuk ke ruang solat lelaki dan bertanyakan soalan kurang sopan.
Menurut Ismail, dalam kejadian kira-kira 10 malam pada 12 Mac lalu itu, wanita berkenaan dengan berpakaian tidak menutup aurat, terdahulu bertanya kepada seorang jemaah mengenai suara bacaan bilal serta imam terlalu kuat sehingga mengganggu kejiranan.
“Wanita berkenaan datang sendirian dan kebetulan ketika itu kebanyakan jemaah melakukan solat sunat witir serta hampir selesai.
“Pada mulanya saya tidak mahu panjangkan hal berkenaan namun apabila insiden itu tular di media sosial, pihak pengurusan masjid terpaksa membuat laporan polis bagi mengelak kejadian yang sama berulang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut Ismail berkata, ia adalah kali ketiga wanita berkenaan meluahkan rasa tidak puas hatinya yang mana dua sebelum ini dilakukan menerusi kiriman surat kepada siak masjid.
Katanya, wanita terbabit mendakwa laungan azan Subuh di masjid itu mengganggu jiran yang sedang tidur.
“Tiada laporan polis dibuat ketika itu dan kami sudah memastikan penggunaan pembesar suara tidak mengganggu kejiranan.
“Namun ketika hari kejadian, kami dapati wanita terbabit seakan-akan mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental dan kerana itulah laporan polis tidak dibuat sehinggalah ia tular di media sosial, barulah laporan polis dibuat,” katanya lagi.
Menurut Ismail, dia juga turut dihubungi kakak kepada wanita itu dan mendakwa adiknya memang mempunyai masalah kesihatan berkaitan mental selepas pulang dari luar negara.
“Wanita itu mendakwa adiknya sebelum ini seorang yang taat kepada agama dan sering menaja individu bagi menunaikan umrah. Dia kemudian menetap di London sebelum mengalami gangguan kesihatan mental sebaik pulang ke tanah air.
“Bagi kejadian ini, saya berharap orang ramai tidak mengambil tindakan sendiri dan bertenang serta serahkan kepada tindakan polis.
“Kami juga tiada tindakan susulan, cuma merancang mahu mengadakan majlis pertemuan supaya dia boleh membuat permohonan maaf serta merapatkan kembali ukhwah kedua-dua pihak.
“Kami faham dia ‘sakit’ dan tidak mahu ia berlarutan, cuma biar sahaja pihak berkuasa jalankan tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
“Laporan dibuat pada 15 Mac lalu di Balai Polis Batu Feringghi dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Turut baca :
Leave a Reply