Hulu Selangor : Polis menahan dua lelaki termasuk warga emas berhubung kes cabul kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, pihaknya menahan individu itu yang seorang daripadanya adalah siak, susulan laporan yang diterima pada 4.53 petang kelmarin.
“Dalam laporan, mangsa mendakwa dicabul dua lelaki berusia 56 dan 74 tahun. Kedua-duanya merupakan siak dan pesara swasta.
“Kejadian dilapor berlaku di tandas surau dan rumah suspek di Bukit Sentosa,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Asri berkata, kedua-dua suspek ditahan di lokasi berasingan di sini, pada hari sama laporan dibuat.
Katanya, semakan mendapati mereka tiada rekod kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.
“Kedua-duanya direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 10 Mac untuk siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 15 (a)(i) akta sama,” katanya.
Leave a Reply