{VIDEO} Pemandu ‘lalok’ pelbagai dadah sebabkan kemalangan ditahan

KUALA LUMPUR – Pemandu kereta jenis Nissan Sentra bersama penumpangnya yang menyebabkan kemalangan di Jalan Ipoh, Batu 5, di sini, kelmarin ditahan selepas ujian air kencing didapati positif pelbagai jenis dadah.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, siasatan awal mendapati, insiden pukul 12.30 tengah hari melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang memandu kereta jenis Nissan Sentra.

Lelaki tersebut telah terlelap dan melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di hadapannya.

Katanya, akibat perlanggaran tersebut, lori yang dilanggar itu telah bergerak ke hadapan dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal di lorong yang sama menyebabkan penunggang motosikal terjatuh ke jalan.

“Bagaimanapun, dalam kemalangan tersebut tidak melibatkan kecederaan kepada pemandu dan penunggang kenderaaan yang terlibat.

“Anggota polis trafik yang sampai ke tempat kejadian turut merasakan sesuatu mencurigakan daripada pemandu dan penumpangnya berusia 32 tahun kenderaan Nissan Sentra yang tidak sedarkan diri.

“Ekoran itu, kedua-duanya telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan telah menjalani ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi,” katanya.

Menurut Eng lai, hasil pemeriksaan mendapati kedua-duanya adalah positif dadah jenis methamphetamine, ketamin, benzo (Erimine 5), amphetamine dan ganja (THC).

“Kedua-duanya telah ditahan dan disiasat oleh IPD Dang Wangi.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)a Akta Dadah Berbahaya 1952, dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*