Bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Itu perumpamaan yang sesuai digambarkan terhadap aktiviti sindiket penipuan atau scammer yang semakin meningkat saban tahun melalui aplikasi media sosial, khususnya Telegram.
Jenayah siber di negara ini semakin meningkat malah taktik yang digunakan scammer juga makin ‘mengganas’ bagi memperdaya dan menipu mangsa yang kurang celik mengenai isu ini.
Bercerita mengenai pengalaman sendiri, penulis juga pernah didekati scammer emas dalam talian, skim pelaburan malah ada juga yang menyamar sebagai kenalan untuk meminjam duit di Telegram.
Bukan itu sahaja, ada juga scammer yang mendakwa gambar tidak senonoh tersebar di aplikasi lain dan meminta penulis untuk klik pautan tertentu bagi melihat sendiri kandungan. Namun, penulis tidaklah mudah termakan dengan helah mereka malah pautan itu juga agak pelik.
Justeru, penulis rasa terpanggil untuk memberi sedikit kesedaran kepada pembaca Kosmo! agar celik dan cakna mengenai modus operandi jenayah komersial yang telah menjerat ramai mangsa sehingga mengalami kerugian wang ribuan ringgit.
Lagi menyedihkan apabila melihat mangsa yang ‘termakan’ umpan scammer ini bukan sahaja golongan tua, tetapi anak muda yang bijak pandai turut terjebak sama.
Duta Anti Scam, Asisten Superintendan (ASP), Rahmat Fitri melalui perkongsian di TikToknya berkata, masyarakat perlu ambil maklum bahawa mereka hampir ditipu sekiranya dimasukkan dalam kumpulan Telegram secara tiba-tiba.
“Jika tiba-tiba sahaja anda dimasukkan dalam kumpulan terutamanya kumpulan skim pelaburan di Telegram, maknanya itu adalah scammer. Ia adalah scam, tidak kisah kumpulan itu mempamerkan individu mewakili mana-mana bank, berpangkat Datuk, berbentuk wang, sijil-sijil dan sebagainya.
- Turut baca : {VIDEO} Sambil menangis panggil “Yaba, Salma, Said,” bapa cari anak diruntuhan selepas dibom meruntun jiwa
“Lagi mencurigakan sekiranya tawar skim pelaburan, tetapi pembayaran menggunakan akaun individu. Masyarakat perlu fikir secara normal, semak dan tanya,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, beliau turut berkongsi cara-cara untuk bebas gangguan scammer dan tidak dimasukkan dalam kumpulan sedemikian dengan mengubah tetapan di Telegram.
“Bagaimanapun, langkah ini tidak akan menjanjikan anda tidak diganggu sekiranya kenalan tidak melakukan hal sama, yang mana akaun mereka boleh diambil oleh scammer untuk dimasukkan dalam kumpulan mereka.
“Langkah-langkah yang dikongsikan akan mengurangkan sedikit gangguan tawaran-tawaran scammer di Telegram. Be smart. stay alert,” ujarnya.
Leave a Reply